Ahli UMNO Harus Ada Ketahanan Diri Yang Kuat, Bersedia Untuk PRU15

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi ingatan tentang naratif baru untuk kepimpinan UMNO di semua peringkat dan beliau juga memberi peringatan kepada daya tahan kuat sewaktu menjadi pembangkang.

Jelas beliau, ahli UMNO harus ada ketahanan, memiliki daya tahan diri yang kuat dan sanggup berkorban dalam apa situasi yang berlaku.

“Ahli-ahli parti di peringkat cawangan dan bahagian mesti mempunyai ketahanan diri yang sangat kuat dan sanggup berjuang dalam apa keadaaan yang mereka hadapi serta boleh berkorban dalam apa jua keadaan.

“Muafakat Nasional itu sendiri sebenarnya adalah ‘new deal’ maknanya tawaran UMNO dan berpakat, bersatu membina kekuatan atas Muafakat Nasional,” katanya ketika mengulas ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menjelaskan bahawa UMNO, PAS dan Barisan Nasional (BN) telah bergabung membina identiti Muafakat Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) selain turut menawarkan kepada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak untuk membina kekuatan bersama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Beliau turut memberi pesanan kepada semua perwakilan dan pemerhati UMNO yang berkampung di PWTC.

“Kepada perwakilan dan pemerhati UMNO yang datang dari seluruh negara yang kini berada di PWTC, kita dapat menghayati apa mesej yang disampaikan Presiden parti dan mesti bersungguh-sungguh mendapatkan maklumat itu dan bersemangat serta hendakkan kejayaan dalam PRU 15.

Dalam pada itu Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad mengharapkan semua perwakilan UMNO memahami dan menghayati segala bait-bait ucapan amanat dasar dari Presiden tadi.

“Saya menyeru kepada semua perwakilan UMNO dan juga rakyat Malaysia supaya menghayati ucapan Presiden UMNO sebentar tadi dan beliau ada menyentuh mengenai tentang PRU 15.

“Kita semua kena bersiap sedia untuk PRU 15 dan tidak melalui ‘pintu belakang’ serta usaha untuk mencapai kejayaan dalam PRU 15 dan ia perlu dimulakan dari sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru ahli-ahli UMNO untuk kekal fokus dan tidak boleh hanya bergantung kepada isyarat memenangi empat PRK dan rakyat masih mahukan UMNO terus memperkasakan parti.

“Paling penting apa-apa kesilapan lampau dan mungkin ketelanjuran-ketelanjuran yang pernah dilakukan dan perlu diperbaiki untuk UMNO menjadi lebih baik bagi menampilkan tawaran yang rakyat boleh menerima kembali.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kemarahan dan rasa mual kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini. Belum tentu kemarahan rakyat itu bermakna mereka akan menerima kita, yang paling penting UMNO dan seluruh gabungannya dalam BN dan juga gabungan baru dalam Muafakat Nasional iaitu sahabat baru dari PAS.

“Kita kena sama-sama merancang dan yang penting UMNO jangan cepat angkuh, sombong dan besar kepala apabila sudah menang dan yang penting ialah perlu sentiasa tahu denyut nadi dan jiwa rakyat pada hari ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.