Wanita Akan Mencari Solusi Terbaik Pastikan Rakyat Kembali Sokong UMNO, BN


KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Wanita akan mencari solusi terbaik untuk memastikan rakyat kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, ‘new deal’ yang diamanahkan oleh parti akan dilaksanakan sebaik mungkin melalui gerak kerja yang akan diaturkan nanti.

“Dalam ucapan perasmian, Timbalan Presiden telah mengamanahkan sayap-sayap dengan ‘new deal’ dan insya-Allah wanita akan memikirkan cara terbaik untuk meraih semula undi daripada rakyat supaya menyokong UMNO dan BN melalui gerak kerja yang sedang dan akan diaturkan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden atas ucapan dan rangka gerak kerja yang diamanahkan beliau juga kepada sayap-sayap khususnya dalam Wanita UMNO.

“Wanita akan bawa dan terjemahkan ia menjadi kenyataan nanti. Saya juga mengambil kira kemenangan di Tanjung Piai sebagai satu permulaan kepada satu jalan yang masih jauh dalam nak ambil balik kerajaan ini,” ujar beliau kepada media selepas menghadiri Perasmian Serentak Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di PWTC malam tadi.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian Mohamad mengesyorkan mekanisme yang perlu dilaksanakan bagi menggagalkan kerajaan PH.

Beliau berkata, setiap ahli UMNO perlu menjadi agen semak dan kritik yang benar-benar efektif di era demokrasi digital.

“Setiap ahli UMNO boleh berperanan secara bertanggungjawab dan beretika untuk mencari pelbagai kelemahan, kegagalan dan kepincangan PH. Dan mendedahkannya kepada semua rakyat Malaysia melalui pelbagai medium media sosial,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.