Wanita Akan Bangkit Mantapkan Roh Perjuangan – Pembahas

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pembahas bagi Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia (Politik) Noriah Hj Ab Rahman berkata, Wanita akan bangkit memantapkan roh perjuangan kerana tidak mampu lagi mengenang nasib bangsa Melayu umat Islam yang terus dicampak ditempat yang hina.

Jelas beliau, Wanita tidak mampu tidur lena sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah dan kerana itulah tangan yang menghayun buaian ini akan memastikan lanskap politik diubah.

“Alang-alang menggenggam bara api, biar jadi arang… mana hati tak marah, mana hati tak sakit, mana hati nak tenteram, mana mata hendak lena, mana mulut nak menjamah nasi, bila mengenangkan nasib bangsa Melayu, umat Islam terus dicampak ditempat yang hina, habis diroboh dan dipunahkan.

“Maka mari kita mantapkan roh perjuangan, Wanita mampu laksanakan, Wanita hebat, Wanita perkasa, bersaksikan tangan inilah, tangan yang menghayun buaian akan bersama mengubah landskap politik semasa ini,” ujar beliau ketika membahas ucapan pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Tambah beliau, hanya dalam tempoh setahun enam bulan UMNO kehilangan kuasa dan diganti dengan PH, negara porak-peranda dan dalam jangka masa tersebut harta pusaka nenek moyang satu persatu dilelong akibat kerakusan tangan dan kuasa.

“Apa yang tinggal sekarang hanyalah serpihan-serpihan kuasa Melayu yang entah bila bertautnya semula. Menjadi sekelompok majoriti tetapi ditadbir oleh kuasa minoriti Dap.

“Impian Malaysian Malaysia Dap semakin menjadi realiti. Apa, mengapa, bila, bagaimana, semua kini sudah tidak lagi jadi tanda tanya. Kerana apa? Semua telah terjawab hasil daripada PRU-14.

“Apa nak jadi? Kuasa politik di tangan minoriti, Melayu dan Bumiputera bagai buih-buih di lautan terapong di tiup angin jadi lemah tak berguna akhirnya ditelan arus deras. Menakutkan sungguh masa depan Melayu, Bumiputera dan Islam di bumi mereka sendiri.. Sedar lah, Sekiranya Melayu tak dapat ambil balik kuasa dalam PRU-15, kuasa politik Melayu akan terhapus sama sekali buat selama-lama nya di bumi Malaysia,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia Noorlaila Aslah berkata, seluruh ahli Wanita UMNO menyokong penuh dan mendokong semua yang dirancang oleh barisan kepimpinan tertinggi parti dalam usaha mengekalkan kebersamaan parti komponen dan mengembalikan semula sokongan rakyat menjelang PRU-15.

“Melayu kini sudah hilang kuasa politik, ditunggang pemangsa yag rakus menjarah hak keistimewaan kita yang santun berkongsi tanah bertuah ini. Membunuh perpaduan bangsa, mengundang mendung masa depan anak cucu kita.

“Hampir dua tahun kita membilang kemungkaran kerajaan… rukun Islam diringan-ringankan, Rukun Negara sudah tidak lagi menjadi pedoman, Sultan dan Raja jadi sasaran, sejarah negara juga diputar-belitkan. Buah-buahan sejahtera dibinasakan dan perkataan ‘kafir harbi’ nak diharamkan. Inikah ‘harapan’ yang dijanjikan?

“Pemimpin yang kononnya nak bawa harapan… kini senyum menghadap tuduhan rogol, kerja seperti biasa, bebas tanpa segan walaupun 99 peratus sama dengan pelaku liwat… pemuja LTTE dapat sokongan supaya dilepaskan kononnya mereka pemimpin yang membawa harapan… ada pula pemimpin yang konon nak bawa harapan tapi asyik silap titip perpuluhan,” bidasnya.

Justeru, tegasnya Wanita tidak rela lagi membilang pengkhianatan pemimpin yang kononnya mahu membawa harapan dan kerana itulah Wanita akan membantin setiap keringat untuk memulihkan maruah rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.