Ucapan Perasmian Tok Mat Penuh Bermakna Untuk Landasan Perjuangan Parti – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melihat ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam meletakkan perjuangan UMNO di landasan tersendiri.

Menurut beliau landskap politik hari ini agak celaru kerana apa yang cuba dibawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mana teras ideologi yang dibawa contohnya konsep Malaysia Baru cuba menyusahkan akar-akar negara.

“Contohnya nak menafikan soal politik identiti … politik yang berasaskan mewakili kaum masing-masing. Itu adalah realiti yang kita tidak boleh nafikan sebab itu adalah fitrah manusia. Cuma bagaimana nak menguruskan kemajmukan dan kepelbagaian yang ada dan itu yang paling penting.

“Malaysia ini istimewa dan unik ianya bukan seperti banyak negara lain yang cuba mencabut identiti bangsa dan kaum tetapi Malaysia ini sifatnya integrasi bermakna kita menghormati kepelbagaian bangsa yang ada. Mereka ada identiti masing-masing, mereka ada keutamaan masing-masing, tetapi ini kekuatan Malaysia yang kita adunkan bersama dalam konteks memahami hak dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Dewan Merdeka, Rabu.

Turut serta Naib-Naib Presiden parti, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan pimpinan UMNO yang lain.

Tegas Asyraf sebab itulah apabila hendak dibawa perjuangan parti ianya tidak harus bersifat apologetik, rasa bersalah seolah-olah politik identiti ini sudah tidak relevan dan perjuangan Melayu ini seolah-olah dilihat sebagai kita tidak menepati zaman yang ada.

“Yang ini saya rasa pemikiran yang dangkal. Jadi kita harus kembali kepada akar ini dan paling penting dan paling besar memahami citra Malaysia itu sendiri. Identiti kaum kita kekalkan, politik kaum tidak ada masalah tetapi jangan melampau, jangan zalim jangan bersifat tidak adil. Kita harus menghormati nilai toleransi yang tinggi bagaimana UMNO, MCA, MIC dalam konteks Barisan Nasional (BN) memberikan formula yang terbaik selama ini.

“Cuma kita mungkin kena perbaiki seperti yang Timbalan Presiden sebutkan yang mana layar yang koyak harus ditampal, yang mana bahagian yang rosak harus diperbaiki dan begitu juga perumpamaan kepada UMNO ini.

“Kita harus mengakui ada kesilapan kita yang lampau, ada kepincangan yang berlaku kerana kita manusia biasa tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan tetapi yang paling penting kita harus ‘move on’ bergerak ke depan menyantuni realiti masyarakat yang memerlukan jawapan daripada UMNO apakah tawaran baru untuk rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum tetapi paksinya harus kita perkuatkan, ekonomi harus kita majukan dan struktur sosial harus kita bangunkan,” tambahnya.

Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal pula berpandangan ucapan perasmian oleh Tok Mat memberi garis panduan yang jelas kepada ahli parti khususnya pergerakan sayap bagaimana nak bergerak selepas ini dan lima perkara yang beliau gariskan merupakan rujukan yang berguna  kepada ahli parti.

Di situ  kata beliau Tok Mat mengajak kepada perpaduan, muhasabah diri dan memperbaiki apa jua segala kelemahan, kekurangan parti dan ahli-ahli parti selama ini dan tidak salah masing-masing belajar menguasai teknologi berdepan dengan landskap politik baru yang sudah jauh berubah.

Pada masa yang sama kata beliau lagi UMNO sendiri tidak boleh mendabik dada walaupun parti mengecapi beberapa kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dan itu bukan ukuran sebenar kerana medan perang sebenar nanti adalah Pilihan Raya Umum (PRU-15)  yang  jauh berbeza dengan PRK.

“Kita harus bersedia dan di peringkat sayap perlu merangka strategi sendiri dan garis panduan jelas telah diberikan oleh Tok Mat yang secara terus-terang mengingatkan kita supaya tidak lagi leka namun terus bergerak ke depan selepas ini.

“Wanita, Pemuda dan Puteri masing-masing ada kelebihan, kekuatan sendiri dan perlu menggembleng tenaga dan saya sebagai orang muda juga tertarik dengan pesanan Tok Mat khususnya supaya UMNO di setiap peringkat menjaga pemimpin pelapis itu sendiri.

“Walaupun golongan ini kadangkala ada kelebihan dan kekuatan tertentu, namun  amat penting parti menjaga aset utama yang hadir dengan pakej tertentu yang seharusnya memberi kelebihan kepada parti. Cukup-cukuplah kita menidakkan pemimpin pelapis sebaliknya pemimpin ini digilap dan diasuh serta diajar kerana pada PRU-15 nanti pemimpin pelapis inilah senjata utama yang paling ke depan mempertahankan parti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.