Tradisi Bela Rakyat Terus Jadi Wadah UMNO, Kutuk Dakwaan BN Lakukan Kerosakan

KUALA LUMPUR, 5 Dis –  Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berkata tradisi membela rakyat adalah wadah perjuangan parti dan usaha membantu rakyat tidak kira di kota atau di desa selain tidak mengenali bangsa atau agama.

Justeru beliau mengutuk dakwaan yang mengatakan negara ini mengalami kerosakan sepanjang tempoh 60 tahun pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Benar, kita mengakui bahawa ada kelemahan dan kesilapan di sana sini sepanjang tempoh pentadbiran itu, tetapi bukanlah rosak secara total, atau sering mereka istilahkan sebagai kleptokrasi. Mungkin juga ada seorang dua yang memang melakukan kesilapan, tetapi bukanlah semua orang UMNO itu korup.

“Ini ‘UMNO bashing’ iaitu memukul dan menghentam musuh sehingga musuhnya mati. Dakwaan negara rosak adalah mala fide. Ia adalah satu naratif dan ‘story board’ yang memang sudah direka. Mereka sedang melakukan ‘character assassination’ iaitu pembunuhan karektor UMNO.

“Padahal, kita semua sedia maklum bahawa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) teruk. Pengakuan yang dibuat oleh Perdana Menteri bahawa manifesto yang mereka canangkan pada PRU14 lalu hanyalah janji manis dengan anggapan mereka tidak akan menang akhirnya memakan diri sendiri. Barulah mereka tahu ‘langit itu tinggi atau rendah’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan Usul Menyokong Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada perhimpunan agung pergerakan itu di Dewan Merdeka, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi umumnya dapat melihat pada hari ini Kerajaan PH tidak membawa sebarang perubahan pun dan mereka hanya jenamakan semula produk dan perkhidmatan terbaik yang sebelum ini dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Pada masa yang sama beliau turut menegaskan UMNO kini sudah melalui proses ‘re-engineering’ atau rekayasa yang kompleks dan matang malah bahtera sudah bersiap siaga seperti yang ditegaskan oleh Dr Asyraf dalam ucapannya.

“Jadi, sudah tentulah dalam pelayaran kita itu, kita tidak akan menempuh lautan yang hanya tenang sahaja. Lautan yang sedang kita layari bersama bahtera UMNO itu pasti akan diuji. Kita akan diuji dengan ombak dan badai, kita akan diuji dengan ribut dan taufan, kita akan diuji dengan hujan dan panas, kita akan diuji dengan kocak dan gelora, semua itu kita kena melaluinya.

“Malah Bahtera UMNO sudah cukup masak dengan segala jenis ujian dan cabaran ini. Pada saya, inilah yang mematangkan kita orang-orang UMNO. Kita pernah menang, kita pernah kalah, kita pernah senang, kita pernah susah, sahabat-sahabatku sekalian, kamulah pejuang yang sebenar dikala UMNO dalam kesusahan yang tidak punya apa-apa.

“Kamu mempunyai semangat. Semangat bangkit kembali. Kita semua yang berada di dewan dan juga pendukung kita diluar sana berjuang bukan kerana harta benda serta wang ringgit ataupun pangkat. Kita berjuang hari ini kerana UMNO-Sebuah Perjuangan,” tegasnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.