Tema UMNO Sebuah Perjuangan Benar-benar Terbukti – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli sama ada dari akar umbi sehingga kepimpinan dan juga rakyat negara ini.

Tinjauan UMNO-Online mendapati rata-rata dari kalangan perwakilan UMNO merasa amat teruja kerana dapat menghadiri PAU bagi tahun ini.

Bagi Ketua Wanita UMNO Bahagian Jempol, Faezah Osman, percaya keterujaan akar umbi yang hadir ke mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian sebelum ini sudah pasti akan menjadi pendorong kepada mereka untuk menyaksikan sendiri persidangan peringkat pusat.

“Kepercayaan rakyat kepada UMNO begitu kuat. Ahli UMNO tidak perlu risau dan gusar dengan keutuhan serta tautan dari peringkat akar umbi sehingga kepimpinan UMNO.

“Apabila berlakunya mesyuarat UMNO di peringkat cawangan dan bahagian ini bermakna tidak ada ahli yang terlalu sedikit berpaling tadah untuk beralih kepada parti lain. Betapa kuatnya UMNO dengan ‘tagline’ ‘UMNO sebuah perjuangan’ mesti diteruskan lagi.

“Dari alun-alun menjadi ombak dan bertaut…insya-Allah akan menjadi tsunami serta dapat mentadbir negara kembali,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Dalam pada itu, Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Rembau, Ahmad Irfan Abdul Hamid teruja menjadi perwakilan bagi kali pertama dan dapat menghadiri PAU 2019 serta berpendapat UMNO perlu dijadikan contoh sebagai sebuah parti yang berstruktur dan berorganisasi dengan baik.

“Mesyuarat cawangan yang dilaksanakan pada 15 Mei hingga 30 Mei dan mesyuarat bahagian pada 15 Jun hingga 15 Ogos telah dilakukan dengan begitu baik dan tiada permasalahan yang timbul, berjaya, lancar serta bersistematik seperti yang terkandung dalam perlembagaan UMNO.

“Ia sentiasa dipantau dan diikuti oleh semua perwakilan-perwakilan UMNO dan Alhamdulillah kami berjaya,” ujarnya.

Sementara itu menurut Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Kota Kinabalu, Syeera Fizayu Raiman berkata sebagai anak muda, UMNO adalah sebuah parti yang terbaik bukan sahaja kepada anak muda tetapi kepada keseluruhannya.

“Walaupun UMNO mengalami tsunami yang teruk akibat kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu serta diasak, dihimpit berbagai cubaan dan rintangan dari parti kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun UMNO mampu bangkit kembali dan berjaya mengatasinya.

“Kita telah mengadakan beberapa mesyuarat bermula dari cawangan, bahagian dan sekarang kita kumpul bersama-sama di dalam PAU 2019 dengan semangat yang baru dan juga perjuangan yang hebat. UMNO melaksanakan mesyuaratnya dengan sistematik dan bukannya dengan caca marba seperti dilihat dalam PH,” tegasnya.

Malam tadi, PAU 2019 membuka tirainya bermula dengan perasmian serentak perhimpunan tiga sayap parti meliputi Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.