Puteri UMNO Bertegas Noktahkan Isu Sensitif, Pertahan Agama, Bangsa, Negara

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bertegas menoktahkan mana-mana isu yang merugikan negara dan menggangu-gugat hak keistimewaan Melayu di samping agama dipertahankan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, anggota Puteri di segenap ruang akan berusaha untuk menggembling tenaga bagi menarik anak muda untuk bersama UMNO dan menolak mereka yang mempersenda bangsa Melayu dan agama Islam.

“Kita bangkang politik jaga hati, kita noktahkan mana-mana isu yang merugikan negara dan menggangu-gugat hak-hak istimewa orang Melayu, agama dan akan kita pertahankan,” katanya ketika pergulungan Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO di PWTC, hari ini.


Sementara itu Zahida mengharapkan skuad siber yang sudah menjadi ‘produk’ Pergerakan Puteri UMNO akan sama-sama memasarkan produk dan memerlukan bantuan semua bahagian untuk merealisasikannya.

“Di alam maya kita gunakan skuad siber untuk jelaskan dan mempengaruhi minda anak muda, bekalan untuk perjuangan ini akan sama-sama kita sediakan sebagai persediaan masa hadapan.

“Teras dan gerak kerja Puteri UMNO akan ditekankan untuk mendaftar pemilih pengundi kerana mereka adalah aset parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15,” tegasnya

Dalam masa yang sama beliau melahirkan rasa kagum dan mengucapkan syabas kepada semua pembahas dengan kepetahan setiap jurucakap negeri.

Katanya, kelantangan dan kepetahan jurucakap Pergerakan Puteri UMNO dengan memainkan isu-isu semasa walaupun ia ringkas namun cukup padu.

“Semuanya lantang bersuara memberitahu kemahuan negeri dan isu-isu yang berbangkit. Mesej yang dilontarkan ini cukup ringkas, padat dan ada asasnya inilah wajah Puteri UMNO hari ini tetap lantang bersuara dan teguh dilandasan.

“Ada beberapa isu yang disampaikan oleh jurucakap dan saya akan menyampaikan kepada pucuk pimpinan khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.