Perwakilan Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Mulakan Persidangan

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mengisi jadual Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 hari ini dengan setiap ketua sayap akan menyampaikan ucapan dasar disusuli pembentangan usul dan perbahasan.

Wanita UMNO bersidang di Dewan Tun Hussein Onn dengan ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad akan menyampaikan ucapan dasar sementara Pemuda yang bersidang di Dewan Merdeka diketuai oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan juga akan menyampaikan ucapan dasarnya dihadapan perwakilan Puteri yang bersidang di Dewan Tun Dr Ismail bermula 9 pagi ini.

Seramai 976 anggota perwakilan menghadiri perhimpunan Wanita UMNO manakala perwakilan Pemuda adalah seramai 973 orang dan Puteri disertai 960 anggota perwakilan.

Malam tadi, perhimpunan agung masing-masing telah dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan memberikan pesanan kepada para perwakilan terbabit.

Keseluruhannya seramai 5,603 anggota perwakilan UMNO dari seluruh negara akan berhimpun bagi menjayakan PAU 2019 kali ini yang dijadual berakhir Sabtu.

Siaran secara langsung persidangan tersebut boleh diikuti menerusi facebook UMNO-Online.UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.