Pentadbiran Kerajaan PH Perak Lumpuh, Ibarat Gerabak Keretapi Tanpa Kepala

IPOH, 5 Dis – Kerajaan Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mencipta sejarah apabila jentera pentadbiran lumpuh akibat ketiadaan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pegawai Kerajaan Negeri.

Dalam satu kenyataan bersama UMNO dan PAS Perak berkata ketiadaan dua timbalan SUK seorang sedang berkursus di luar negara dan seorang lagi sedang bercuti sakit, menjadikan kerajaan Perak ibarat gerabak keretapi yang tiada ‘kepala’.

“Dengan politik yang tidak stabil akibat perebutan kerusi menteri besar, pergeseran antara parti-parti komponen serta percakaran dalaman di dalam Dap dan PKR, ketiadaan dua ex-officio dan dua timbalan SUK yang sepatutnya memangku tugas, menjadikan pentadbiran bertambah huru-hara.

“SUK Perak, Datuk Haji Zainal Azman Abu Seman dipindahkan minggu lepas manakala Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said telah bersara bulan lepas. Timbalan SUK (Pengurusan) Puan Nor Sham Rahman pula sedang berkursus di luar negara manakala Haji Mu’az Zawawi bercuti sakit.

“Ini menjadikan jentera pengurusan dan pelaksana kerajaan lumpuh akibat tiada orang yang mengetuai operasi kerajaan,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria.

Kenyaatan tersebut juga menegaskan bahawa Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan hanya penggubal polisi, manakala pelaksana ialah kakitangan awam yang diketuai oleh SUK.

“Apa yang lebih menyedihkan Penasihat Undang-undang Datuk Rohana Abd Malek pula sudah menghampiri persaraan.

“Tanpa sebuah jentera pelaksana yang kuat adalah mustahil tugas kerajaan boleh dilaksanakan, ibarat gerabak keretapi yang tidak mempunyai kepala lokomotif. Rakyat bawahan terus menjadi mangsa,” bidas mereka lagi.

Oleh itu, ulas mereka lagi, Muafakat Nasional Perak dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menyeru Faizal supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran perjalanan kerajaan dan jangan hanya beretorik semata-mata.

“Jawatan yang disandang bukan untuk suka-suka serta bermegah-megah tetapi perlu dilaksanakan dengan cekap bagi memastikan tanggungjawab terhadap rakyat dan negeri dilaksanakan dengan baik” tegas mereka. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.