Noraini Garis Tiga Misi Penting Wanita UMNO Untuk PRU-15

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr. Noraini Ahmad hari ini menggariskan tiga misi bagi memperkasakan sayap itu dalam mencapai objektif UMNO untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Jelas beliau, tiga misi tersebut adalah memperkukuhkan jentera parti, memperkukuhkan Muafakat Nasional dan siapsiaga hadapi PRU-15.

“Saya menyarankan tiga misi tersebut bagi memastikan wanita UMNO terus menjadi wanita yang progresif dan luar biasa. Saya mahu jika terjadinya esok pilihan raya, Wanita UMNO sudah bersedia. Sebab itu saya menyarankan misi pertama iaitu memperkukuhkan parti.

“Kekuatan Wanita UMNO dalam mendekati pengundi memang tidak boleh dipersoalkan lagi. Namun saya mahu mengajak semua perwakilan dan akar umbi di luar sana untuk memulakan gerak kerja baharu yang lebih berfokus.

“Gerak kerja seperti Jalinan Rakyat 2.0 serta Skuad Sayang telah terbukti medium terbaik mendekati pengundi tetapi kita tidak boleh leka dengan kekuatan yang kita ada… kerana itu Skuad Sayang saya garap dengan memberi rencah yang baru iaitu Skuad Sayang 3K iaitu kebajikan, keselamatan dan kesihatan. Bagi saya, Skuad Sayang perlu diinstitusikan agar ia menjadi jentera yang berfungsi sebagai pasukan gerak gempur kepada Wanita UMNO,” jelas beliau ketika berucap dalam ucapan perbahasan Persidangan Wanita UMNO Malaysia bersempena Perhimpunan Agung UMNO di PWTC hari ini.

Menerusi misi pertama itu juga tambah Noraini, pengkaderan dan latihan perlu dilaksanakan bagi menyemai, membina dan memupuk kembali roh perjuangan parti keramat ini.

Selain itu, jelas beliau, peranan Wanita UMNO dalam media sosial juga akan diperkasakan kerana inilah medium yang sangat penting masa kini.

Menjelaskan misi kedua pula iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional Noraini berkata, apa yang meterai pada 14 September lalu bukanlah hanya berkisar kepada soal Melayu dan Islam sahaja dan mesej ini perlu dihantar secara jelas kepada seluruh rakyat.

“Kerjasama ini adalah untuk semua kaum di negara tanpa mengira agama dan ia adalah untuk mengembalikan Malaysia ke acuannya yang asal yang mana kita mengiktiraf kemajmukan agama dan kaum di negara ini.

“Walaupun sikapnya majmuk, akarnya adalah Melayu, Islam dan Bumiputera seperti mana yang telah disepakati dan dipatri dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam agama Persekutuan dan Melayu Bumiputera mempunyai keistimewaan yang tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun akar inilah yang sedang cuba diganggu-gugat oleh kerajaan PH… inilah yang menyebabkan orang Melayu dan Islam resah,” tegas beliau.

Justeru katanya, merungkai misi ke tiga iaitu siap siaga menghadapi PRU-15 Noraini menjelaskan, Wanita perlu bersedia kerana semboyan bakal berkumandang pada bila-bila masa sahaja.

“Kita semua tahu bagaimana berantakannya PH… Perdana Menteri sedang ‘bergaduh’ dengan bakal Perdana Menteri ke lapan… Nasib rakyat langsung tidak mereka pedulikan. Tetapi dalam keadaan sedemikian, bersediakah kita sekiranya esok Parlimen dibubarkan?

“Sebab itu pelan strategik amat penting bagi kita memenangi semula hati rakyat. Ombak kebangkitan rakyat pada hari ini harus kita kekalkan dan kita perlu pastikan mereka kembali menyokong wadah perjuangan UMNO,” jelas beliau.

Justeru, Noraini Wanita perlu diperkasakan agar tulang belakang UMNO ini sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia untuk mengadapi apa juga situasi demi mempertahankan parti keramat ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.