Muafakat Nasional Solusi Terbaik, Atasi Kegagalan Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pencadang Usul Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia, Siti Mariam Abdul Majid berkata Muafakat Nasional ternyata mampu menggugat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin menjunam prestasinya.

Katanya, gagasan politik hasil manifestasi kerjasama antara dua parti terbesar Melayu-Islam terbesar UMNO dan PAS tetap mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita sedia maklum bahawa Piagam Muafakat Nasional ini menggariskan prinsip atas kerjasama nasional. Struktur dan modus operandi yang dilakarkan bersama menerusi jawatankuasa induk dan jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh pemimpin dari kedua-dua parti.

“Kita berjuang untuk mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan negara dan termasuk Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya di Perhimpunan Agung Puteri UMNO Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC, di sini.

Mariam yang juga Exco Pergerakan Puteri UMNO yakin perjuangan Muafakat Nasional akan terus memelihara kaum-kaum lain demi kesejahteraan negara.

“Perlu yakin dengan kerjasama ini memberi keadilan buat semua kaum dan golongan.

“Justeru Muafakat Nasional akan menjadi solusi kepada masalah-masalah yang timbul akibat pemerintahan kerajaan PH,” ujarnya.

Dalam pada itu menurut Penyokong Usul Ucapan Dasar, Dr Masliha Harun berkata golongan muda dan mahasiswa haruslah diberi ruang dan peluang oleh parti dalam berpolitik.

“Saya yakin dengan langkah mempromosikan budaya anak muda dan mahasiswa berpolitik ini amat penting sebelum had usia pengundi diturunkan.

“Mahasiswa berpolitik bukan semestinya mahasiswa berpolitik ’partisan’ atau bergiat aktif dalam politik semata-mata tetapi lebih kepada kemampuan anak muda dan mahasiswa secara kritis menyertai wacana dan berbincang isu politik negara dengan matang dan segar melalui gagasan ilmu dan intelektual,” ujarnya.

Puteri juga tegasnya menggesa kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dengan segera dan menggantikan dengan peruntukan undang-undang yang mampu menjamin anak muda dan mahasiwa dapat berpolitik secara kritis dan bebas.

Ini juga katanya mampu menyediakan golongan muda yang lebih matang dan kritis dalam berpolitik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.