Mahasiswa Cabar PH Laksana Sesuatu Lebih Baik Daripada Kerajaan Terdahulu

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Wakil Mahasiswa, Muhammad Irfan Fikri Abd Rahman mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar melakukan sesuatu yang terbaik daripada kerajaan sebelum ini dan bukan hanya sibuk dengan perkara remeh-temeh.

Menurut beliau cabaran berkenaan adalah untuk memastikan anak-anak muda khususnya dapat melihat masa depan yang jelas terutama berkaitan perancangan serta pelaksanaan kerajaan hari ini.

“Setelah kejatuhan BN pada PRU lalu, negara ini sebenarnya telah hilang hala tujunya. Jika dulu kita ada gambaran masa depan belia negara. Dulu diadakan ‘road show’ seluruh negara bagi mencorakkan kanvas yang dipanggil TN50.

“Tetapi hari ini apa yang berlaku. Tidak ada inisiatif daripada kerajaan. Apa yang disibukkan menteri kita. Yang seorang sibuk main ‘video game’ dalam pejabat yang seorang lagi dikisahkan warna kasut. Itu standard menteri hari ini. Mahasiswa jauh lebih baik daripada menteri yang ada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mempersoalkan apakah sudah ada perancangan tertentu terhadap golongan muda sepertimana kerajaan lalu.

“Apakah sudah ada perancangan tertentu yang membawa anak muda bersama. Adakah kerajaan sedar yang kita ini sebuah pelan yang konkrit. Jadi kerajaan ingat… kalau tengok video ni ingat. Bertindak balaslah dengan apa yang saya kata ini. Saya cabar kerajaan hari ini untuk buat jauh lebih baik daripada kerajaan terdahulu. Jangan komen saja pandai.

“Anak muda hari ini muak dan mual dengan keputusan yang tidak konsisten. Bagaimana dan kemana negara hendak pergi pada masa akan datang. Ke mana kami anak-anak muda mahu pergi pada masa akan datang?” tambahnya.

Tambahnya lagi anak muda inginkan ‘blueprint’ yang jelas daripada kerajaan tentang masa depan dan  mereka akan terus bersuara.

“Kami anak muda inginkan satu ‘blueprint’  yang jelas demi masa depan negara. Kami mahasiswa akan terus bersuara demi kepentingan mahasiswa dan rakyat kerana suara keramat inilah yang akan kami bawa sampai bila-bila.

“Adakah sudah ada perancangan tertentu yang boleh anak muda bersama. Adakah kerajaan sedar kita tidak boleh maju ke depan tanpa sebuah pelan yang konkrit. Saya nak pesan pada kerajaan hari ini… sudah-sudahlah berpolitik… sudah-sudahlah bermain politik retorik dengan anak muda,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.