Lima Azimat Untuk Kelangsungan Agenda Kebangkitan Pemuda UMNO – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggariskan lima pendirian penting sebagai azimat agar pergerakan terbabit akan sentiasa berada pada landasan yang betul dan kekal dalam agenda kebangkitan parti.

Katanya, biarpun ketika ini arus rakyat mulai seakan menyebelahi UMNO namun hasus diingat tidak semestinya mereka akan terus menerima.

“Rakyat marah dan mual dengan sikap Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menipu, memungkiri janji bahkan seringkali memperlekeh kebijaksanaan rakyat (dengan kenyataan dangkal dan dasar berubah-ubah.

“Namun harus diingat, tidak semestinya rakyat sudah bersedia menerima kita. Yang penting UMNO kena terus muhasabah, merendah diri, memperakui kesilapan lampau lantas mengoreksi diri untuk terus melakukan pembaikan dalaman parti,agar kita dapat kembali menagih kepercayaan dan menambat keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang suci ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO bertajuk ‘Rekayasa Kebangkitan’ sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Justeru, katanya, demi kelangsungan agenda kebangkitan Pemuda beliau melakarkan lima pendirian penting sebagai azimat agar Pemuda sentiasa berada pada landasan yang betul.

“Pendirian Pemuda kekal tegas tidak berubah, jangan diberikan nyawa kepada mereka yang sedang lemas! jangan menjadi penyambung hayat bagi mereka yang ditolak rakyat! Jangan sesekali mencurangi kepercayaan rakyat! Sekali rakyat dikhianati, parti akan tertolak buat selama-lamanya,” tegas beliau lagi.

Berikut lima Azimat untuk Pemuda UMNO:

AZIMAT PERTAMA: FOKUS PEMERKASAAN PARTI
PERTAMA, Pemuda di semua peringkat mesti terus semarakkan agenda Islah, pengkaderan, pentarbiyahan dan pemerkasan dalaman parti. Jangan sesekali kita leka dan alpa dek seronok dan selesa dengan kemenangan di Cameron, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai hingga kita kembali sombong dan angkuh, bahkan mula bercakaran sesama sendiri. “Winning Few Battles Do Not Mean We Can Already Win A War”.

AZIMAT KEDUA: TERUS MENGAKAR KEPADA ANAK MUDA
KEDUA, Pemuda mesti terus dengan gerakkerja mengakar, merimbun dan membumi kepada segenap lapisan masyarakat samaada di kota mahupun di desa. Pemuda UMNO dengan imej yang baru tidak harus ada sifat elitis yang dilihat memperagakan kemewahan diri. Gerak kerja kita akan digandakan dengan memfokuskan agenda utama mendekati anak muda yang punya kerencaman pemikiran dan kepelbagaian perawakan seiring dengan pindaan umur pengundi muda bawah 18 tahun.

AZIMAT KETIGA: JAUHI PERSENGKETAAN, UTAMAKAN PERMUAFAKATAN
KETIGA, Pemuda harus utamakan kesatuan kita sebagai satu keluarga besar yang mendokong wadah perjuangan suci ini. Jangan sesekali berprasangka dan bersengketa sesama sendiri.

AZIMAT KEEMPAT: PEMUDA KEKAL MANDIRI DAN WALA’ PADA PARTI
KEEMPAT, Pemuda harus kekal bersifat mandiri (independent) – wala’ dan kesetiaan hanya pada institusi dan perjuangan parti bukan individu mahupun personaliti.

AZIMAT KELIMA: PERTAHAN MARUAH DEMI RAKYAT
KELIMA, pemuda mesti terus menjuarai agenda rakyat dengan menjadi pembangkang berwibawa, mendengar denyut nadi dan membawa suara hati rakyat secara tegas tanpa rasa takut. Isyarat melalui empat PRK yang dimenangi cukup jelas, bahawa rakyat mahu kita kembali, tetapi dengan wajah yang baru. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.