Allahyarham Datuk Seri Harun Idris Terima Anugerah Khas Pemuda UMNO 2019
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Bekas Ketua Pemuda UMNO yang terkenal dengan suara lantang, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris hari ini dianugerahkan Anugerah Khas Pemuda UMNO 2019 sempena perhimpunan agung pergerakan berkenaan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada wakil keluarga Allahyarham, Ramlan Datuk Seri Harun.
Suasana sayu menyelubungi Dewan Merdeka sejurus kisah beliau sepanjang menerajui pergerakan itu dipaparkan di skrin utama Dewan Medeka sebelum Perhimpunan Agung Pemuda UMNO dimulakan.
‘Pemuda Tahan Lasak’ adalah cogan katanya dan menjadi wadah perjuangan Pemuda, menanam semangat jiwa perkasa sehingga melahirkan pemimpin negara yang berwibawa dan kisah perjuangan yang hebat ini adalah naskhah sejarah yang perlu dijadikan pegangan dan panduan bahawa kesepaduan yang tinggi dapat membina kekuatan yang utuh dan kukuh selamanya.
Mengimbau sejarahnya, dalam Perhimpunan Agung Pemuda UMNO pada 21-22 Januari 1971 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Harun Idris terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO ke-5.
Dilahirkan di Petaling, Selangor, Harun mula bekerja dengan Perkhidmatan Pentadbiran Melayu pada tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau belajar undang-undang di Middle Temple, London, United Kingdom. Apabila Harun tamat pengajiannya dua tahun kemudian, beliau pulang ke Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam kerajaan sehingga mencapai pangkat tertingginya sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau mula berjuang untuk kemerdekaan Malaysia pada awal 1950-an apabila menyertai Persatuan Selangor Malaysia. Oleh sebab minatnya yang mendalam dalam bidang politik, beliau meletak jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 1964 untuk bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1964 di DUN Morib.
Harun berjaya memenangi kerusi di daerah Morib dan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, suatu jawatan yang dipegangnya selama lebih satu dekad. – UMNO Online