Wanita UMNO Harus Kuasai Ilmu, Kemahiran Komunikasi Dan Media Sosial – Dr Noraini

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata selaras dengan peredaran zaman dan masa, ahli parti perlu menguasai serta mahir di dalam penggunaan media sosial.

Ujarnya, selain memanfaatkannya sebagai bahan sebaran aktiviti dan program, ia juga harus digembleng sebagai medan debat politik yang sihat.

“Sebagai badan politik setiap hari harus melihat apa kesalahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ‘troll’ kesalahan-kesalahan tersebut.

“Sekarang ini zaman Facebook, Instagram, WhatsApp, kalau ada isu dan boleh dijadikan ‘viral’, ia akan tular dengan begitu cepat. Kalau kita bandingkan dengan zaman dulu nak tahu maklumat pun lambat… berbanding dengan waktu sekarang ini segala-galanya boleh menjadi ‘viral’ sekelip mata,” katanya dalam Forum ‘Dampak Media Sosial 2.0 Wanita UMNO’ di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini petang tadi.

Ulas lanjut, Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan bahawa Wanita UMNO harus menguasai kemahiran komunikasi dalam talian dan ia perlu dititikberatkan untuk memastikan kepentingan dan kepimpinan lebih efektif.

“Wanita UMNO perlu melengkapkan diri dengan ilmu menulis mesej di media sosial yang jelas dan telus serta berhati-hati agar tidak disalahertikan.

“Kita perlu beri penerangan yang sebenar untuk kita tidak mudah tertipu dengan pelbagai dakyah PH yang sering memanipulasi maklumat dengan tujuan menipu rakyat.

“Baru-baru ini akta berita tidak benar dimansuhkan di Dewan rakyat. Bila sudah tiada akta berita tidak benar pelbagai maklumat boleh disebarkan dan tidak ada akta yang boleh menyekat apa-apa maklumat palsu mahupun fitnah yang diterima dari media sosial ini,” ujarnya.

Oleh kerana itulah gesanya, Wanita UMNO perlu memainkan peranan mendidik masyarakat agar meneliti setiap berita palsu dan fitnah yang diterima dari media sosial.

Program yang memasuki tahun kedua dianjurkan oleh Wanita UMNO ini turut menampilkan ahli panel seperti daripada Facebooker Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) Mohd Harris Nasril, instafamous tagline ‘Malu Apa Bossku’ Mohd Nor Kharoni Kamisan yang lebih dikenali sebagai Ron Kamisan dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Turut hadir dalam forum ini, Naib Ketua Wanita Datuk Norliza Abdul Rahim, Ketua Penerangan Wanita UMNO Norshida Ibrahim, Exco-exco Wanita dan juga ahli akar umbi dari Wanita UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.