UMNO Bukan Hanya Sekadar Parti Politik Tetapi Sebuah Perjuangan – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 4 Dis –  Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO bukan hanya sekadar parti politik tetapi ianya adalah sebuah perjuangan dan hari ini adalah masa terbaik untuk memastikan ianya terus subur kembali.

Dengan mengambil perumpamaan buah epal sebagai analogi, beliau berkata buah berkenaan cukup dikenali ramai hari ini malah ianya menjadi satu kebiasaan kepada mereka yang melawat pesakit ke hospital

“Saya tidak pernah jumpa lagi orang pergi ke hospital bawa durian musang king. Mungkin hospital tidak benarkan masuk, tetapi walaupun musang king itu mahal duriannya dan sedap tetapi sakit, orang tidak bawa durian. Orang akan bawa epal sebab orang kenal epal dan orang suka epal tetapi berapa orang kenal bagaimanakah rupa pokok epal.

“Adakah pokok epal itu macam pokok kelapa menjalar, macam pokok labu dan sebagainya. Tidak kenal pokok epal sebab tidak tahu pokok epal. Saya pun umur dah 50 lebih baru pertama kali tahu pokok epal.

“Maka begitu jugalah dengan UMNO ini… kerana UMNO itu jadi parti kerajaan mereka masuk kerana nakkan projek, masuk kerana nak bertanding sebab duduk belah menang boleh jadi wakil rakyat… supaya boleh jadi menteri, supaya boleh menjadi anggota kabinet dan sebagainya. Berapa ramai yang menghayati perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Ilmu yang bertajuk UMNO Sebuah Perjuangan yang turut menampilkan Pakar Sejarah, Prof  Datuk Dr Ramlah Adam dan Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun. Program tersebut dihoskan Ketua Unit Penyelidikan Penerangan UMNO, Datuk Dr Noor Azizan Majid.

Annuar seterusnya menambah UMNO itu asal usul sejarahnya merupakan sebuah perjuangan dan ketika berkuasa dan menjadi kerajaan maka adalah tempat untuk menteri dan sebagainya lagi, namun ketika parti diwujudkan tidak ada pun dalam pemikiran mereka yang mewujudkan UMNO memikirkan soal projek atau soal menjadi menteri.

“Pada tahun 1946 itu terkumpulnya roh, jiwa dan semangat orang Melayu kerana ada sesuatu yang terdorong dalam jiwa mereka.  Satu daripadanya adalah kerana orang-orang Melayu pada waktu itu rata-rata beragama Islam dan dalam Islam itu menegakkan pemerintahan membebaskan diri, menjaga zuriat, menjaga agama, menjaga maruah, menjaga nyawa, harta dan sebagainya adalah satu kewajipan

“Jadi apabila saya kata nak hidupkan suasana roh UMNO sebagai semangat perjuangan itu, barangkali inilah masanya waktu dah jatuh dan tidak ada kuasa dan tidak terlalai dengan jawatan-jawatan, mari kita perkayakan semula, hidupkan semula, segarkan semula roh perjuangan yang sebenar yang lebih hakiki iaitu UMNO bukan hanya sekadar parti politik tetapi UMNO adalah sebuah perjuangan yang fardu atas kita sebagai orang Islam dalam negara kita Malaysia,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama beliau turut melihat berdasarkan pembacaannya, UMNO itu terwujud roh Islamnya begitu kuat sekali tetapi ianya tidak diolah dan dikupas.

“Saya ambil satu contoh kenapakah dalam negara kita ini akhirnya menjadi sebuah negara majmuk berbagai kaum dalam konteks pelbagai unik jika nak dibandingkan dengan Singapura, Indonesia dan sebagainya yang pelbagai kaum juga tetapi tidak sama dengan Malaysia.
“Dalam negara kita orang Cina, orang Melayu boleh duduk dalam keadaan aman damai. Ianya ada kaitan… siapa UMNO itu iaitu oleh kerana UMNO itu didokong oleh orang Melayu dan orang Melayu itu Islam dan Islam tidak pernah mengajar untuk membenci orang lain hanya kerana keturunan, ataupun bangsa. Sebab itu orang kita begitu toleran.

“Prinsip Jus Soli dahulu akhirnya kita terima dan beri dalam keadaan yang cukup bebas, nak pakai nama cina pun boleh, nak buka sekolah cina pun boleh. Di Indonesia nak jadi rakyat boleh tetapi nama Cina pun tidak boleh dipakai… kena pakai nama jawa. Jadilah Hartono dan sebagainya. Kalau di Amerika walaupun dibenarkan orang Cina duduk, mereka tidak benarkan sekolah Cina, malah Singapura pun tidak benarkan, tetapi kita ini apabila berunding kontrak sosial tadi kita begitu liberal sebab apa… ’basiclly’ kerana kita Islam. Sebab Islam dah mengajar kita tidak boleh perkauman. Islam dah ajar begitu,” tegasnya.

Tegasnya lagi jika itu difahami, maka tidak timbullah UMNO bekerjasama dengan PAS maka akan jadi ‘Taliban’ sebab selagimana orang UMNO itu pegang dan junjung Islam, orang UMNO, parti UMNO akan tetap memberikan  perlindungan.

“Sebab itu dalam ceramah-ceramah MCA di depan khalayak Cina di Tanjung Piai, saya cakap terus terang. Kalau ‘you’ angkat Dap atau parti-parti lain belum tentu lagi tetapi kalau UMNO berada di atas selagi UMNO itu Islam, bila UMNO selamat, Islam selamat dan apabila Islam selamat Cina selamat, Islam selamat India selamat, Islam selamat Kadazan selamat dan semuanya akan selamat. Ini adalah contoh nilai-nilai perjuangan yang ada pada kita itu begitu kuat sekali kerana Islam yang memandu kita dalam perjuangan,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.