UMNO Akan Ketengahkan Aktivis Muda Yang Setia Pada Parti Dalam PRU-15

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan mengetengahkan aktivis muda yang taat setia kepada parti sebagai pemimpin dalam pentadbiran mahupun dalam Pilihan Raya Umum akan datang

Jelas beliau, sudah sampai masanya anak muda yang setia dan taat dibawa ke hadapan sebagai pemimpin.

“Saya yakin anak muda bangkit kembali di bawah era Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi dan kepimpinannya. Insya-Allah, bila diumumkan PRU ke-15 (PRU-15), saya akan meneliti aktivis-aktivis Pemuda untuk diketengahkan dan mana-mana yang taat kepada parti akan diberi keutamaan… tidak goyang walau ada angin ribut dari dalam atau luar.

“Saya yakin inilah ketikanya kita harus mengetengahkan tokoh muda yang setia kepada parti, begitu juga aktivisi media sosial akan diperkirakan,” ujar beliau ketika berucap dalam majlis makan tengahari bersama Pemuda UMNO Malaysia bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2019.

Dalam ucapan yang sama, Zahid berkata, memandangkan had umur mengundi telah diturunkan kepada 18 tahun maka Pemuda UMNO akan memasuki sekolah bagi mendekati golongan pelajar di seluruh negara.

“Had umur mengundi 18 tahun akan dilaksanakan pada pada PRU-15 nanti, jadi syabas dan tahniah kepada Pemuda yang telah bergerak sepantas kilat menstruktur pergerakan mereka sesuai dengan perubahan ini.

“Penubuhan Siswa UMNO sesuai dengan penghapusan AUKU yang telah dilakukan maka ini juga masa yang sesuai untuk kita masuk ke sekolah mendekati pemimpin pelajar di seluruh negara.

“Saya amat mengharapkan agar mereka yang berada di bangku sekolah didekati agar bila tiba PRU nanti golongan anak muda ini boleh menyokong jentera dan calon yang bakal kita ketengahkan,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.