Penulisan Ensiklopedia UMNO Dilaksana, Peranan Parti Perlu Didokumentasikan – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Penulisan Ensiklopedia UMNO dilaksana bagi mendokumentasikan peranan dan sumbangan besar parti yang bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada kaum-kaum lain di samping pembinaan negara sejak sebelum kemerdekaan, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, sangat penting sekali ensiklopedia UMNO diwujudkan sebagai rujukan masa hadapan kepada rakyat di negara ini.

“UMNO adalah sebuah organisasi yang menyatukan orang Melayu dan memberi rahmat kepada bangsa-bangsa lain. Sejarah UMNO cukup panjang sehingga titik hitam pada Mei 2018 kita hilang kuasa namun kekalahan pada PRU-14 itu bukanlah satu sebab untuk kita lupakan sejarah dan peranan UMNO yang cukup besar dalam membina negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjanjian persefahaman melibatkan Ketua Penerangan UMNO dan Sejarawan ulung, Prof. Datuk Dr Ramlah Adam dengan disaksikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, lebih 70 tahun UMNO membina negara maka sebab itulah sejarah dan jasa-jasanya tidak boleh dilupakan.

“Sejarah UMNO ini perlu didokumenkan, sebab itulah perlu diwujudkan satu ensiklopedia yang bertulis, mengumpul segala maklumat, tata dan segala hal berkaitan parti.

“Hakikat dan realitinya adalah UMNO bukan hanya memberi sumbangan kepada orang Melayu tetapi kepada rakyat keseluruhannya. Bagaimana UMNO menunjukkan sifat toleransinya dan peranan UMNO yang bukan sahaja kepada ahli parti tetapi juga memberi sumbangan kepada orang Melayu keseluruhan serta kaum-kaum lain,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Pelancaran ensiklopedia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.