Peniaga ‘Food Truck’ Gembira, Teruja Berniaga Sempena PAU 2019

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Seperti tahun-tahun sebelum ini, lebih dua ratus gerai jualan dengan pelbagai produk antaranya seperti produk tekstil, produk kesihatan, bahan bacaan, usahawan industri kecil dan sederhana serta dalam talian mewarnai kemeriahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada tahun ini.

Selain itu pada PAU 2019, peniaga-peniaga makanan dan minuman daripada lebih 20 pengusaha ‘food truck’ turut diberi peluang menawarkan jualan produk mereka di parkir bas Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sejak semalam hingga Sabtu, 7 Dis ini.

Tinjauan UMNO-Online mendapati rata-rata dari kalangan mereka berasa amat teruja kerana diberi peluang berniaga sempena PAU.

Bagi Nasaruddin Shamsul Anuar atau dikenali sebagai ‘kecik jalanan’, 25, peniaga keropok lekor asli dari Terengganu berkata ia merupakan pengalaman pertama kali berniaga di PAU 2019.

“Saya harap PAU ini dapat menarik perhatian pengunjung-pengunjung yang menghadiri dan memenuhi di perkarangan kawasan ‘food truck’ ini.

“Harapan saya dalam perniagaan ‘food truck’ ini selama lima hari dapat menjaga ekonomi yang lebih baik dari sebelumnya. Perniagaan ‘food truck’ ini bermula dari jam 10 pagi dan bergantung kepada jadual yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Norfazilah Sa’aran, 30, penjual air buah-buahan, juga pertama kali berniaga di PAU agak khuatir tidak ‘cukup tangan’ kerana sudah pasti kehadiran pengunjung yang ramai.

“Saya pertama kali berniaga sempena PAU 2019 dan merasa risau kerana terlalu ramai yang akan menghadiri pada PAU ini. Saya merasa gembira kerana diberi peluang berniaga di sini.

“Sebelum ini saya berniaga merata-rata dan tergantung pada acara, jikalau ada acara saya akan datang berniaga. Kadang-kadang dalam seminggu terdapat dua acara. Bukan saja acara jika ada majlis perkahwinan yang diundang, saya akan hadir juga,” katanya lagi.

Norfazilah juga sempat memberikan pandangannya bahawa UMNO adalah sebuah parti yang menjaga kebajikan orang-orang Melayu.

“Lebih baik saya sokong UMNO dari parti lain, ini adalah amanat dari ibu saya bahawa jangan sokong parti lain selain UMNO kerana UMNO menjaga kepentingan bangsa Melayu dan juga membangunkan negara.

“Perjuangan UMNO ini diwarisi dari datuk dan nenek kita dan saya harus menyokongnya walaupun ada parti yang memberi ‘janji manis’ …tak apalah yang penting saya sokong UMNO,” ujarnya.

Sementara itu menurut Mohd Rizuan Mansor, 34, peniaga nasi ayam goreng kunyit teruja diberi peluang berniaga.

“Alhamdulillah… sambutan makanan ini agak memberangsangkan dengan mendapat sambutan pelbagai usia menikmati nasi ayam goreng kunyit ini.

“Saya sudah berniaga ‘food truck’ ini selama empat tahun dan berniaga di sekitar kawasan Taman Keramat dan Setiawangsa dan jika ada acara lain saya turut menyertainya.

“Selagi pembeli masih menyokong perniagaan ini, saya akan terus berniaga sampai bila-bila… insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.