PAU 2019: Rapatkan Saf, Kekal Istiqamah Dan Sebarkan Roh Perjuangan UMNO – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru pendukung parti agar menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk saling mempererat jalinan persahabatan, merapatkan saf dan kekal istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, perbezaan pendapat yang wujud hendaklah diraikan atas semangat perjuangan UMNO.

“Ambillah iktibar daripada apa yang melanda parti lawan agar tidak terjadi kepada kita. Akibat tamakkan kuasa, sanggup bercakaran sesama sendiri.

“Gunakan kesempatan ruang dan waktu ini juga untuk mendengar dan menghayati ucapan rakan-rakan yang lain kerana dalam setiap bait ucapan itu terkandung roh perjuangan UMNO.

“Kemudian sebarkan roh itu ke setiap ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ulasnya juga, walaupun UMNO dilanda ombak besar sehingga kehilangan kuasa mentadbir negara ini semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, namun semangat ahli-ahlinya masih utuh dan setia bersama perjuangan UMNO.

“Saya cukup seronok dan terharu melihat dengan semangat yang berkobar-kobar itu, tuan-tuan dan puan-puan datang dari setiap pelusuk negara bertuah ini ke PAU 2019.

“Dengan semangat itu jugalah rakan-rakan kita yang tidak dapat bersama dalam perhimpunan ini setia menonton dan mendengar di televisyen dan corong radio hatta di telefon bimbit sekalipun,” tambahnya yang mengalu-alukan semua perwakilan termasuk juga rakan baharu parti, PAS ke PAU 2019.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut berdoa agar perhimpunan dan perjuangan semua pendukung parti akan diberkati dan dirahmati oleh Yang Maha Esa. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.