Kami Berjanji Tidak Akan Ada Parti Lain Selain UMNO Dalam Jiwa Kami – Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 4 Dis – “Kami berjanji tidak akan ada parti lain dalam hati kami selain UMNO,” ujar wakil mahasiswa UMNO Muhammad Zafir Mohd Saman.

Katanya, mahasiswa tidak mahu lagi menyokong secara bersembunyi kerana ia hanya memberi kesan negatif.

“Kami tak mahu takut lagi. Kami sudah merasa dan nampak apa kesannya sekiranya mahasiswa menyokong UMNO secara bersembunyi.

“Jika Adam Adli dan rakan-rakan boleh menyokong pembangkang dahulu secara terbuka jadi mengapa kami tidak boleh melakukan perkara yang sama,” ujar beliau ketika berucap dalam perjumpaan mahasiswa bersama Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang membuka tirainya hari ini.

Tambah Zafir, kelab mahasiswa akan bergerak bukan sahaja sebagai ejen kepada parti tetapi akan menjadi satu gerakan mahasiswa sebagai pasukan untuk mendesak kerajaan.

“Sekarang kami akan lantang untuk jadi semak dan imbang baik kepada kerajaan mahupun UMNO.

“Kami mengkritik dan sediakan solusi. Dulu Adam Adli dan rakan-rakan hanya pandai kritik tapi tiada solusi. Kita tidak mahu seperti itu… tidak mahu sembang kosong.

“Sekarang mana Adam Adli? Menyorok bawah meja… Kami tidak mahu seperti itu,” ujar beliau.

Zafir juga melahirkan harapan agar UMNO dapat mengangkat idea mahasiswa ke peringkat lebih tinggi.

“Kami mahasiswa mempunyai latar belakang yang berbeza, universiti yang berbeza dan ilmu yang berbeza jadi mungkin UMNO boleh ambil idea kami untuk diangkat ke pihak atasan dan Parlimen bagi memperkasakan mahasiswa itu sendiri,” tegas beliau lagi.

Hari ini PAU 2019 membuka tirainya. Secara tradisi, mahasiswa dalam dan luar negara turut serta menyertai perhimpunan ini dan pelbagai program diatur untuk mereka sama-sama mencambah idea memperkasa parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.