Hak Milik Tanah 999 Tahun: Kerajaan Perak Jangan Cabul Perlembagaan Persekutuan

IPOH, 4 Dis – UMNO Perak mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mencabul Perlembagaan Persekutuan dengan memberikan hak milik 999 tahun untuk tanah di kampung-kampung baru.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad berkata langkah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mengingatkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa mesyuarat tersebut telah memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung-kampung baru tidak boleh melebihi 99 tahun.

“Ketetapan ini, adalah di bawah Seksyen 76(aa) (iii) Kanun Tanah Negara 1965.

“Menteri besar hendaklah bertindak mengikut lunas serta semangat Perlembagaan serta mematuhi ketetapan Kanun Tanah Negara bagi memastikan kestabilan negeri ini,” tegasnya lagi.

Beliau mengulas mengenai desakan Dap supaya kerajaan negeri memberikan hak milik tanah 999 tahun, yang dibangkitkan oleh Pengerusi Dap Perak Nga Kor Ming dalam ucapan dasarnya pada Konvensyen mereka.

Ulasnya juga, jangan hanya kerana ‘permainan serta kepentingan politik’ kerajaan negeri sanggup mencabul perlembagaan dan melanggar prinsip perundangan.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan menyifatkan Dap bermain sentimen kaum dan menekan menteri besar dengan terus-menerus memainkan isu hak milik 999 untuk Kampung Baru.

“Banyak lagi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai keutamaan yang belum dipenuhi, termasuk menghapuskan tol, menurunkan harga minyak serta memberikan pendidikan percuma.

“Mengapa hanya janji hak milik tanah 999 yang terus menerus dibangkitkan,” bidasnya.

Apatah lagi, katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkali-kali menyatakan “manifesto bukan kitab suci”.

Saarani juga berkata langkah Nga Kor Ming menayangkan klip video yang menunjukkan Ahmad Faizal berucap membacakan tawaran PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan satu ucapan selepas PRU14 ketika sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak, jelas menunjukkan Dap sedang menekan Menteri Besar Perak.

Beliau juga menyatakan perkara ini jelas menunjukkan Dap sebuah parti cauvinis perkauman yang hanya mementingkan satu kaum sahaja dan menidakkan hak kaum-kaum lain. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.