Sedekad Skuad Sayang Diperluaskan, Unit Kesihatan Dan Keselamatan Untuk Masyarakat

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Skuad Sayang Wanita UMNO yang cukup sinonim dengan gerak kerja kebajikan masyarakat hari ini bukan sahaja mencatat sejarah tersendiri malah diperluaskan lagi dengan penubuhan dua lagi unit iaitu, Unit Kesihatan dan Unit Keselamatan.

Menerusi program Majlis Sedekad Bersama Skuad Sayang dan Pelancaran Skuad Sayang 3K yang disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini petang tadi, sejarah penubuhannya turut diimbau iaitu 10 tahun lalu Skuad Sayang ditubuhkan bagi menyahut saranan Presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat adanya peningkatan semangat sukarelawan dalam membuat kerja kebajikan dan membatu masyarakat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi dalam ucapannya berkata hari ini cukup sedekad penubuhan Skuad Sayang dan ditambah lagi dengan Unit Kesihatan dan Unit Keselamatan ianya menandakan satu perkara yang amat positif.

“Saya mengharapkan bukan hanya ketika Perhimpunan Agung UMNO tetapi yang lebih penting kita mesti dilihat di mana-mana terutamanya ketika ini kehadiran Skuad Sayang amat diperlukan apabila musim tengkujuh telah sampai dan saya harap Skuad Sayang dapat bergerak ke sana untuk menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Saya juga mahu aktiviti Skuad Sayang berjalan bukan hanya yang dirancang dan program kita jangan terikat. Saya amat yakin dengan kepimpinan yang ada maknanya beberapa langkah ke depan pasti akan dilakukan oleh Skuad Sayang di seluruh negara. Selayaknya mereka diberikan penghargaan. Kita juga harus memberikan penghargaan kepada pengasas Skuad Sayang ini, Tan Sri Shahrizat Jalil,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan pimpinan UMNO yang lain.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata Skuad Sayang telah melalui pelbagai rintangan dari zaman menang hinggalah zaman kalah hilang kuasanya termasuklah rampasan 27 buah van Skuad Sayang Wanita Johor selepas PRU14.

“Tetapi untuk Wanita dugaan ini sangat kecil, tak jadi kudis luka buat Wanita. Tak terusik, tak terluak sedikit pun semangat Wanita. Malah semangat Wanita tetap utuh tetap kuat bangkit melawan pemerintah zalim dan kejam demi rakyat.

“Skuad Sayang akan terus cekal dan kuat biar basah dek hujan, biar kering dek panas tidak sesekali Skuad Sayang berpatah arang berputus semangat. Skuad Sayang akan terus menelusuri ke setiap ceruk kampung dan desa, berlecak, berbecak. Akan terus bertemu bersua rakyat di bandar dan taman, berjauhan dengan anak dan suami demi curah bakti kepada pertiwi. Kami lakukan ini semua kerana kita mahu UMNO terus subur dalam setiap hati dan jiwa penghuni dedaun pintu yang pergi,” ujarnya.

Ujar beliau lagi melihat perkembangan sosial masa kini, adalah wajar Skuad Sayang memperluas skop kepada dua unit baru iaitu Unit Kesihatan dan Unit Keselamatan agar mencakupi aspek modal insan.

Selain itu tegas beliau Wanita dan kerja kebajikan tidak boleh dipisahkan dan ianya sangat sinonim dengan pergerakan itu malah boleh dikatakan Wanita adalah juara kebajikan.

“Namun begitu, kita mahu sentiasa mekar dengan pendekatan dan idea baru dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian usaha kebajikan kepada setiap lapisan rakyat. Skuad Sayang perlu sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai bentuk program dalam memastikan kebajikan rakyat dijaga, sekali gus memenangi hati rakyat,” tambahnya.

Pada majlis berkenaan Noraini turut mengumumkan pelantikan Datuk Shamsiah Yasin sebagai Komandan Skuad Sayang Kebangsaan dan bagi Unit Kebajikan Timbalan Komandan Adalah Datin Reny Rahayu manakala Datuk Noraeni pula dilantik sebagai Timbalan Komandan bagi Unit Kesihatan dan Puan Haryati Hamzah sebagai Timbalan Komandan bagi Unit Keselamatan.- UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.