Presiden, Timbalan Presiden Turun Padang Saksikan Raptai Penuh PAU 2019


KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan meluangkan masa melihat persiapan terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019, hadir di raptai penuh majlis perasmian serentak perhimpunan agung sayap pergerakan dan juga persidangan agung tahunan parti, petang tadi.

Kedua-dua majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Kerja Datuk Mohd Sumali Reduan, artis terkenal tanah air seperti Datuk Hattan, Datuk Nash dan Datuk Malek Ridzuan.

Sebelum itu, kedua-dua pemimpin parti itu menghadiri Majlis Sedekad Skuad Sayang Wanita UMNO Malaysia di Dewan Tun Razak 4.

Esok, 4 Dis bermula acara perasmian mesyuarat agung sayap pergerakan yang akan disempurnakan oleh Mohamad manakala pada Khamis, 5 Dis setiap sayap akan menunaikan tanggungjawab menyempurnakan persidangan masing-masing.

Pergerakan Wanita UMNO akan bersidang di Dewan Tun Hussein Onn dan Pemuda di Dewan Merdeka manakala Puteri di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC.

Dianggarkan seramai 5,600 perwakilan bahagian akan menghadiri PAU pada kali ini di samping lautan penyokong, pendukung dan rakyat awam akan memenuhi segenap pelusuk PWTC, turut sama merasai bahang kehangatannya.

Atas dasar keterbukaan UMNO, sesi perbahasan akan disiarkan secara langsung.

Jumaat, 6 Dis diadakan majlis menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’, sebelum ucapan dasar Presiden oleh Dr Ahmad Zahid.

Selain dimeriahkan dengan lebih 200 gerai jualan, terdapat juga acara-acara sampingan bermula hari ini hingga 7 Dis nanti seperti Pemeriksaan Kesihatan Wanita UMNO, Pameran Wanita Kreatif, Program W.i.S.E 3.0 (Ekonomi Rakyat), Sofa Pink, Pelancaran Kelab Mahasiswa UMNO dan sebagainya.

PAU 2019 kali ini juga turut dijangka akan mendapat liputan daripada lebih 70 media cetak dan media elektronik termasuk tujuh agensi antarabangsa.

Laman Media bertempat di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.