PAU 2019 Sentiasa Ditunggu-tunggu, Platform Terbaik Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang berlangsung saban tahun sentiasa ditunggu-tunggu bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO tetapi juga masyarakat keseluruhannya yang mahu tahu perkembangan terkini parti tersebut, kata Ketua UMNO Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Justeru jelas beliau, PAU 2019 yang akan bermula esok tentunya akan menarik tumpuan pelbagai kumpulan masyarakat termasuklah mereka yang ingin mengikuti sesi perbahasan semasa persidangan.

“Tentunya perhimpunan ini merupakan satu perkara yang amat bermakna kepada ahli parti dalam usaha meningkatkan lagi kredibiliti UMNO khususnya sebagai jurubicara kepada rakyat.

“Kita yakin dan percaya masyarakat serta ahli UMNO sebenarnya amat menunggu dan menanti setiap tahun. PAU sebagai platform untuk memberikan berbagai bentuk maklumat, hujahan-hujahan, pandangan-pandangan dan teguran-teguran tertentu khususnya kepada parti keramat UMNO.

“Harapan saya dalam PAU ini pembahas-pembahas dan jurucakap akan memberikan pandangan yang begitu baik dan membolehkan dijadikan sebagai landasan kepada kita semua,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya lagi, seperti lazimnya PAU 2019 akan menerima perwakilan, pemerhati termasuk juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk terlibat dan mengikuti perkembangan parti ini dalam arena politik negara.

Nizar yang juga Ketua UMNO Bahagian UMNO Parit seterusnya percaya dan yakin akar umbi parti akan terus kekal utuh dan setia kepada pimpinan dalam usaha memberi motivasi kepada pemimpin-pemimpin UMNO walaupun menerima pelbagai kecaman dan ugutan dari kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Insya-Allah … saya yakin dan percaya ini akan memberikan suntikan motivasi dan rangsangan kepada semua ahli UMNO walaupun menerima berbagai cabaran, ujian, tohmahan dan sebagainya termasuklah juga tindakan-tindakan tertentu yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini terhadap pemimpin dan parti. Mereka (PH) akan mencari salah sedangkan salah itu lebih banyak difokuskan kepada mereka sendiri,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.