PAU 2019 Lebih Terbuka, Sesi Perbahasan Secara Langsung – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan sesi perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU) akan dibuat secara langsung yang akan dapat diikuti oleh orang ramai.

Sehubungan itu beliau memohon agar pihak media membuat laporan yang tepat sepanjang berlangsungnya persidangan kerana ini amat penting untuk rakyat di luar sana mengikuti apa yang dihidangkan dalam PAU kali ini.

“UMNO sangat memerlukan rakan media dalam usaha membuat liputan seadil mungkin dalam PAU kali ini. Oleh itu saya mohon sangat bagi pihak UMNO Malaysia untuk mendapat kerjasama pihak media agar buat laporan supaya rakyat di luar sana mendapat perkembangan yang betul berkaitan PAU.

“Saya harap media akan buat laporan tepat… Siaran secara langsung ini membuktikan bahawa UMNO hari ini lebih terbuka dalam mendepani rakyat dan kita mahu rakyat menilai kita kerana kita tahu bahawa rakyat bijak, cerdik dan boleh membuat penilaian. Kita tak mahu menjadi seperti parti lain yang tertutup kerana tak mahu rakyat lihat apa yang berlaku,” ujar beliau ketika berucap selepas merasmikan Laman Media bersempena dengan PAU 2019.

Dalam ucapannya Dr Shamsul Anuar turut menyatakan bahawa UMNO adalah sebuah parti paling demokratik dalam negara ini.

“UMNO mempunyai sistem yang teratur tersusun dan kemas. Kita dapat melaksanakan mesyuarat di semua lebih daripada 23 ribu cawangan mengikut tertib sebagaimana yang termaktub dalam Pendaftar Pertubuhan. Mesyuarat di 191 bahagian juga berjalan dengan baik dan sempurna, begitu juga diperingkat sayap parti.

“Kalau bandingkan dengan parti lain termasuklah parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri sendiri, ia tidak ada keupayaan untuk melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian. Ini menunjukkan UMNO walaupun diserang hebat dan hilang kuasa pada 2018 tapi parti ini tetap utuh dan kukuh malah dalam tempoh terakhir ini kita mendapat permintaan yang ramai terutama generasi muda untuk menyertai UMNO,” jelas beliau.

Tambahnya, tidak kurang daripada 50 acara bakal dilaksanakan di PAU 2019 dan antara yang menarik adalah buat kali pertamanya UMNO akan menandatangani perjanjian penulisan ensiklopedia.

“Bermula pada akhir tahun ini Penerangan UMNO Malaysia akan mendokumenkan dalam bentuk ensiklopedia sejarah perjuangan UMNO daripada awal hingga kini dan kita akan masukkan semua perkara termasuk apa yang dilaksanakan oleh kerajaan (ketika dipimpin oleh BN) termasuk polisi, dasar kerajaan yang kebanyakan ideanya datang daripada perhimpunan ini.

“Contohnya… bagaimana Tabung Haji diwujudkan dan idea ini datang daripada PAU. Begitu juga bagaimana banyak polisi lain yang dibincang dalam dewan bertuah ini dan ia dilaksanakan sebagai dasar kerajaan.

“Semua perkara ini akan didokumen untuk tatapan rakyat bagi memastikan segala sejarah dan data-data penting tepat, tidak boleh diputar-belit oleh mana-mana pihak untuk kita tunjukkan inilah sumbangan UMNO/BN kepada rakyat dan kepada negara.

“Rakyat akan didedahkan dengan sumbangan UMNO yang nikmatnya dinikmati oleh rakyat semua kaum dan bangsa. Penulisan ini akan diketuai oleh Prof. Datuk Dr Ramlah Adam bersama beberapa pakar lain yang telah ditentukan,” jelas beliau lagi.

PAU 2019 bakal bermula pada 4 sehingga 7 Disember ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.