Keselamatan Negara Jadi Keutamaan, Semangat Patriotisme Harus Ada Pada Rakyat – Noh

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata keselamatan dalam negara bukan sahaja terletak di tangan anggota tentera dan polis tetapi juga rakyat harus mempunyai semangat patriotisme.

Katanya, semangat patriotisme harus ada pada rakyat kerana ia dapat menyatukan masyarakat dan mempertahankan tanah air.

“Satu peristiwa hitam pernah terjadi pada 13 Mei 1969… pada pandangan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu mungkin terlepas pandang kerana pada peristiwa hitam itu berlaku dalam negara dan inilah pentingnya menanamkan semangat patriotisme supaya tidak berulang lagi.

“Sebenarnya kalau kita melihat sejarah, ada ruangan apabila Jepun kalah dan British datang ke Malaya, pada masa itu terdapat masa 14 hari Bintang Tiga memerintah negara. Dalam tempoh 14 hari Bintang Tiga ini telah melakukan kekejaman dalam negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Noh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian sebagai mengulas berkaitan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Katanya, sewajarnya dalam Kertas Putih itu menteri berkenaan perlu tekankan bahawa negara ini pernah dijajah oleh komunis dan kekejaman itu berlaku dalam negara.

“Saya buat teguran pada Kertas Putih itu bahawa Mohamad Sabu hanya menyebut ‘konfrontasi’ dan ‘darurat’ saja.

“Kalau kita ada semangat patriotisme bukan sahaja kita sanggup korbankan nyawa dan pertahankan negara malah maruah negara dan bendera akan kita pertahankan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.