Expo Tattoo: Kebebasan Bukan Bermakna Boleh Lakukan Apa Sahaja

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kebebasan bukan bermakna kita melakukan apa saja, apa apatah lagi ianya melanggar adat serta norma kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkaitan Expo Tattoo Malaysia 2019.

Katanya, biarpun Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia menafikan pembabitannya, ianya sukar diterima kerana jelas nama kementerian digunakan dalam Expo Tattoo Malaysia 2019 yang berlangsung di KL Convention Centre sehingga 1 Disember 2019 lalu.

“Jika kementerian benar-benar tidak terbabit tindakan tegas perlu diambil terhadap penganjur kerana mencemarkan nama baik kementerian. Kalau tiada tindakan dan hanya penafian dibuat oleh kementerian maka rakyat tetap akan menganggap ada pembabitan kementerian dalam acara ini.

“Saya harap pihak kerajaan membendung semua bentuk penganjuran acara sebegini yang tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, tanggungjawab bukan hanya membangunkan fizikal negara kerana yang lebih penting adalah membangunkan modal insan dan sahsiah rakyat.

“Expo ini ternyata membentuk nilai yang tidak sesuai kepada rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.