UMNO Satu Perjuangan, Perteguh Semangat Perbetulkan Sikap Untuk Bangkit Semula – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO ini adalah satu perjuangan yang harus diperkasakan maka semua pihak harus perteguhkan semangat dan perbetulkan sikap untuk bangkit semula.

Jelas beliau, sekiranya semangat terus utuh dan sikap diperbetulkan maka apa sahaja yang menjadi fokus parti pasti akan dapat digapai.

“Walaupun kita bukan lagi sebuah parti pemerintah tetapi perjuangan itu tetap terus dan akan tetap kita perkasakan.

“Inilah hikmah daripada kekalahan kita kerana yang penting dalam perjuangan kita adalah semangat kerana kalau semangat ada, sikap betul, apapun kita boleh buat insya-Allah akan berjaya”, ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 4 hingga 7 Disember ini.

Oleh kerana itu jelasnya ketika berucap dalam penutup Konvensyen UMNO Negeri Sembilan tempoh hari beliau memberitahu bahawa seluruh ahli mesti tahu matlamat utama UMNO adalah PRU-15.

“Menang dalam PRK ini memang penting untuk membangkit dan membakar semangat kita, ia boleh memberi impak positif kepada kita, kepada parti dan beri ruang kepada orang yang tidak berparti menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada PH.

“…tetapi kita sebagai orang parti jangan lupa, jangan alpa, jangan besar kepala, jangan bangga bodoh sombong… sudah menang empat PRK ini bukan satu jaminan untuk kita katakan bahawa PRU-15 nanti itu ketentuan untuk kita menang kerana ini juga akan menjadi sebagai suatu asas ukur kepada PH untuk memperbaiki parti mereka.

“Jadi kita mesti terus berusaha, satukan hati orang UMNO mesti jadi jentera yang kuat untuk kita pastikan persiapan kita yang rapi, persiapan kita yang mantap untuk kita hadapi PRU-15 iaitu perang kita yang sebenar,” katanya.

Tambah Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, beliau mengakui bahawa sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam PRU-14 yang lalu, beliau dapat melihat perubahan positif dari segi sikap dan usaha untuk memperkasa parti terutama di peringkat bawahan.

“Bak kata orang tua-tua ibarat alun-alun. Alun ini kalau bercantum dia akan jadi ombak, alun di cawangan jadi ombak di bahagian, ombak di bahagian pula mesti bercantum menjadi gelombang di peringkat negeri dan gelombang di negeri akan bercantum menjadi tsunami di peringkat kebangsaan. Ini perlu kita susun atur elok-elok.

“Semangat dan sikap sudah baik di peringkat bawah, kita perlu satukan, kita perlu terapkan, kita bagi lagi semangat supaya mereka akan terus bersemangat dan ini dibawa ke bahagian, bahagian bercantum menjadi satu gelombang di peringkat negeri dan gelombang akan bercantum menjadi tsunami dan kalau sudah jadi tsunami saya yakin dan percaya UMNO berada di atas landasan yang betul dan kita boleh menang dalam PRU-15 nanti.

Tetapi jelas beliau lagi cara bagaimana hendak UMNO cantumkan alun-alun ini dan bercantum menjadikan ombak, serta bagaimana UMNO hendak cantumkan ombak bersatu menjadi satu gelombang yang besar.

“Kalau laut bergelombang orang tidak berani turun, kalau laut sudah menjadi tsunami dia akan membadai apa juga yang ada di depan. Ini perlu kita buat. Ini sebagai kata kiasan jadi semangat dan sikap perlu kita asuh dan perlu kita pupuk supaya dia tidak mati supaya orang kata dia tidak menurun balik,” tegas beliau.

Ketika ditanya apakah cabaran sebenar untuk memperkasa parti selain memperbetulkan sikap jelas beliau, terlalu banyak cabaran yang ditempuhi termasuklah cabaran memperbetulkan sikap yang diamalkan ketika menjadi kerajaan dahulu.

“Antara cabaran yang berlaku adalah ketika menjadi kerajaan iaitu sikap sambil lewa, sikap tidak ambil peduli, sikap kadang-kadang yang mementingkan diri dan yang tidak baik sekali ialah sikap kadang-kadang mensabotaj parti.

“Ini yang selalu saya tekankan supaya lupakanlah perangai-perangai yang tak baik ini… yang penting parti. Parti kita penting, perjuangan kita penting, masa depan anak kita, masa depan bangsa kita Melayu amat penting”, ujarnya.

Tegas beliau perjuangan bukan berasaskan kepada individu tetapi perjuangan berasaskan kepada semangat juang agama, bangsa dan tanah air.

“Buangkanlah sikap-sikap tidak baik kerana seperti yang selalu juga saya cakapkan kekalahan kita bukan disebabkan satu faktor. Kekalahan kita banyak faktor-faktornya. Faktor nasional, faktor tempatan, faktor luaran, faktor dalaman tapi yang paling teruk sekali ialah faktor dalaman.

“Faktor nasional itu kita tahu tetapi banyak juga tempat yang kita kalah bukan disebabkan faktor luaran sangat tapi disebabkan faktor dalaman… tidak suka dengan calon, tidak dapat jadi calon, macam-macamlah… bila calon punya nama keluar, tutup peti undi, ini yang banyak terjadi di peringkat negeri, DUN-DUN dan Parlimen yang kalah. Kita menghadiahkan PH kerusi kita dia atas dulang emas. Ini perlu kita elakkan. Kalau kita benar-benar jujur hendak berjuang, buanglah sikap-sikap negatif dan tidak baik seperti itu,” jelas beliau.

Justeru jelas Tok Mat, jangan sesekali sibuk menjadi ‘position’ sehingga melupakan matlamat sebenar perjuangan dalam parti.

“Siapa yang ditentukan untuk memegang jawatan itu terpulang, itu adalah takdir Allah Taala siapa jadi Presiden, Timbalan Presiden, MT, Menteri Besar ke… tapi apa yang penting adalah semangat juang itu. Kita berjuang kerana perjuangan, kita berjuang kerana agama, bangsa dan tanah air kita tapi bila dah lama menjadi parti yang berkuasa, parti kerajaan, didapati semua orang nak cari tempat dan jawatan kerana jawatan itu ‘equal’ kuasa. Itu tidak baik.

“Sebab itu bila kalah banyak yang lari keluar. Ini satu pembersihan dalaman secara tersendiri kerana ramai yang ingat UMNO sudah kalah jadi tak guna lagi duduk dalam UMNO. Itu merupakan suatu proses untuk kita memperkasakan parti kita. Yang tinggal ini adalah orang yang benar-benar mengerti erti perjuangan jadi insya-Allah dengan semangat dan sikap yang betul, saya yakin imej UMNO akan dapat kita pertingkatkan kerana yang penting adalah imej.


“Imej kita telah teruk dihentam dilanyak oleh parti pembangkang dulu jadi kita perlu perbetulkan imej kita dulu… imej inilah yang hendak kita bawa, ‘brand’ inilah yang hendak kita bawa kerana tidak ada salahnya UMNO kalau nak dibandingkan dengan kejayaan mentadbir negara, kita mentadbir negara lebih 60 tahun dengan baik, ‘track record’ kita baik, kita cuma mengalami kesusutan defesit imej kerana mereka menggunakan ini sebagai satu senjata untuk menjatuhkan UMNO,” terang beliau.

Bercakap mengenai kemampuan Muafakat Nasional sebagai alternatif kepada PH pada PRU-15 ujar Tok Mat, ini adalah satu perkara yang telah dikenalpasti dalam usaha memperkasakan parti dan menyusun strategi dalam menghadapi PRU-15.

Salah satu daripada usaha memperkasakan parti jelas beliau adalah mengelakkan perpecahan dan menyusun strategi untuk mengadapi pilihan raya.

“…dan kita perlu mengelakkan pertembungan-pertembungan sesama parti Melayu. Parti Melayu terbesar di Malaysia adalah UMNO dan PAS jadi dengan penyatuan ummah kita tutup satu lubang, satu isu besar telah pun kita tutup.

“Tapi penyatuan ummah sahaja tidak cukup di situ kerana jika kita bercita-cita hendak menguasai semula Putrajaya, kita tidak boleh berhenti di penyatuan ummah sahaja kerana kita mesti faham negara kita ini adalah majmuk.

“Sokongan daripada kaum lain itu penting untuk kita bersama-sama. Kalau tidak ada penyertaan daripada Sabah dan Sarawak hasrat nak jadikan Putrajaya kepunyaan kita susah. Jadi, kita kena bawa Sabah dan Sarawak juga dan secara jujurnya saya katakan penyatuan ummah tidak relevan kepada mereka.

“Tetapi Muafakat Nasinoal itu lebih relevan di Sabah dan Sarawak dan juga di Semenanjung Tanah Melayu kerana mengambil kira rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama. Fasa satu sudah ok maka kita tutup dan masuk fasa kedua. Fasa kedua adalah Muafakat Nasional dan daripada sini pula apa yang perlu kita buat… apakah kita perlu menginstitusikan Muafakat Nasional ini atau Muafakat Nasional ini satu persefahaman yang longgar? Persoalan demi persoalan ini telah pun saya urus dalam jawatankuasa rundingan baru-baru ini untuk jawatankuasa teknikal UMNO PAS memikirkan dan membawa suatu kajian yang lengkap supaya mengambil kira semua aspek untuk kita lihat apa ‘next step’ kita,” ujar beliau.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Tok Mat berkata, Muafakat Nasional bukan sekadar ceramah sahaja dan tidak boleh mengharapkan kepada kelemahan PH semata-mata.

“Berapa lama je kita boleh ceramah… takkan nak katakan kita mengharapkan kelemahan PH sahaja. Jadi apa keperluan yang mesti ada. Kalau nak bentuk kerajaan, apa tawaran kita kepada rakyat Malaysia. Apa ‘new deal’? Kita perlu mempunyai mesej-mesej, mempunyai tawaran-tawaran baru yang perlu kita lengkapkan untuk setahun atau setahun setengah untuk kita beritahu rakyat Malaysia. Kalau pilih Muafakat Nasional inilah yang akan kita buat, kalau kita jadi kerajaan ini yang akan kita buat supaya ini menjadi teras. Tidak perlu lagi kita buat manifesto nak dekat pilihan raya.

“Itu sebabnya saya katakan bahawa Muafakat Nasional ini mestilah berkelakuan sebab kita ini adalah ‘alternative government’ supaya orang melihat kita ‘eh… inilah rupanya…’ itu sebabnya saya telah putuskan bahawa perlu ada satu pelan tindakan di bawah empat negeri yang di bawah UMNO dan PAS.

“Kita lihat ke atas Muafakat Nasional tapi dekat bawah tidak ada lagi… di peringkat negeri. Jadi terlebih dahulu empat negeri ini kita ubah suai strukturnya supaya inilah negeri Muafakat Nasional kalau kita menang nanti… inilah dia contohnya yang hendak kita buat,” ulas beliau lagi.

Akhirnya beliau berharap agar semua yang bakal hadir ke perhimpunan ini memperlihatkan imej yang baik kerana ia bakal diperhatikan oleh seluruh negara.

“Kepada pembahas pula, berbahaslah dengan baik sebab kita tidak mengongkong siapa pun hendak berbahas dan kita akan buat ‘live’. Kita cuma ada satu perbahasan iaitu membahas ucapan Presiden.

“Ucapan dasar Presiden ini terbuka maka bahaslah supaya kita dapat pastikan bahawa idea dan pandangan yang dibawa oleh akar umbi itu dapat memberikan tambah nilai kepada usaha pemimpin di pusat untuk kita lebih mendalami isu, mendalami lebih perkara yang dihadapi oleh negeri terutama dalam untuk kita memperkasa dan menyusun strategi kepada pilihan raya,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.