BN Jadi Harapan Bela Nasib Rakyat Setelah Tertipu Dengan PH – Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa sokongan rakyat hari ini telah kembali kepada BN dengan harapan BN akan membela nasib mereka setelah tertipu dengan pelbagai janji kerajaan hari ini.

Katanya, biarpun ada yang menjadi ‘reptelia’ dan melompat ke parti lain apabila BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, namun MCA, MIC dan UMNO kekal bersatu yang membuktikan rakan susah dan senang bersama.

“Hari ini rakyat mengharapkan BN dan Muafakat Nasional untuk menjadi jurucakap kepada rakyat. Rakyat mula rasa tertipu, mula rasa benci, rasa kecewa maka rakyat mengharapkan BN untuk membina semula dari kekecewaan mereka.

“Harapan rakyat kepada BN telah kembali. Kepada kita mereka meletakkan harapan, kepada MCA, MIC dan UMNO mereka mengharapkan kita membela nasib mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA, di sini, hari ini.

Katanya, kejayaan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang berlangsung baru-baru ini adalah hasil daripada referendum rakyat terhadap kerajaan hari ini.

“Calon Tanjung Piai, Wee Jeck Seng telah memperlihatkan bahawa hala tuju BN dan Muafakat Nasional bukan mahu menjadi negara Taliban sebagaimana tuduhan, fitnah, tohmah yang dibuat terhadap kita dan Muafakat Nasional tapi sebaliknya.”

Dalam hal ini, katanya, BN cukup menghormati pendirian PAS yang terbuka dan secara jelas dapat dilihat apabila seluruh kepimpinan dan jentera PAS turun menyokong Wee Jeck Seng untuk menang dengan cemerlang dalam PRK terbabit.

“Kemenangan Wee Jeck Seng adalah kemenangan rakyat Malaysia keseluruhannya. Ujian pertama selepas Muafakat Nasional kerana PRK ini adalah yang pertama selepas pelancaran Muafakat Nasional, kita dapat kejayaan cemerlang.

“Ini memperlihatkan referendum kecil rakyat kepada kerjaan. Walaupun hanya PRK tapi ramai yang lihat ia adalah referendum rakyat dan jika tred ini dapat dipertahankan, diperkemaskan jentera, semangat kebersamaan dipertahankan maka saya yakin PRU15 kita akan dapat rampas Putrajaya.”

Dilaporkan, Piagam Muafakat Nasional dimeterai antara UMNO dan PAS pada 14 Sept sementara PRK Tanjung Piai yang mengetengahkan calon dari MCA berlangsung pada 16 Nov dengan BN menang majoriti 15,086 undi.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa UMNO dan BN menyokong sepenuhnya usaha MCA untuk memperjuangkan nasib Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Dalam soal pendidikan tidak ada agenda politik, tidak ada agenda kaum, tidak ada agenda agama, tidak ada sempadan antara kaum dan politik maka sebab itulah UMNO dan BN menyokong pendirian MCA.

“Kita tahu pelbagai tekanan dikenakan, pelbagai arahan baru, arahan yang flip-flop dan ini menunjukkan arahan mereka adalah arahan yang tidak difikirkan terlebih dahulu.

“Mereka mahu menentukan seolah-olah MCA tidak ada pengaruh dalam soal politik tanah air namun saya yakin MCA mempunyai daya tahan yang kuat untuk menghadapi cabaran dari kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.