UMNO Sebuah Perjuangan, Insya-Allah Akan Terus Bekerja Untuk Rakyat – Shahidan


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim melihat UMNO hari ini telah bangkit kembali dengan situasi yang cukup berbeza selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, melalui Muafakat Nasional dan kerjasama yang masih utuh dan padu di dalam Barisan Nasional (BN) membolehkan parti memenangi empat Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kita lihat empat keputusan PRK terutamanya di Tanjung Piai memperlihatkan kehebatan Muafakat Nasional apabila menerima calon bukan UMNO bertanding di Tanjung Piai. Ini mendapat sokongan yang hebat sekaligus mematikan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab dan ‘kurang ajar’ yang menuduh Muafakat Nasional ini adalah ‘Taliban’ dan sebagainya.

“Sekarang kita sudah buktikan bahawa Muafakat Nasional ini bukannya ‘Taliban’. UMNO adalah parti yang menjurus kepada perpaduan. Insya-Allah… Muafakat Nasional telah berjaya dan menjalin kerjasama yang erat. Ini menunjukkan sifat bersatu padu terutamanya diperingkat akar umbi,” katanya kepada UMNO-Online.

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 yang akan berlangsung minggu depan, Shahidan mengharapkan agar semua perwakilan melihat dari berbagai aspek agar ilmu yang dapat dari pembahas-pembahas dapat dimanfaatkan dan disebarkan kepada akar umbi.

“Saya berharap supaya perwakilan khususnya dapat melihat secara mendalam dan sekaligus boleh memanfaatkan apa yang diperolehi dari pembahas-pambahas yang akan berucap nanti,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.