Perhimpunan Agung UMNO 2019: Semangat Ahli Parti Terus Berkobar – Ahmad


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 kali ini tentunya diwarnai dengan kegembiraan dan semangat yang amat tinggi selepas Barisan Nasional (BN) memenangi empat Pilihan Raya Kecil (PRK) tahun ini.

Jelas beliau, walaupun UMNO ditindas dan difitnah oleh Pakatan Harapan (PH) namun semangat juang ahli sentiasa berkobar-kobar untuk UMNO kembali menawan Putrajaya bersama-sama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain.

“Saya mengharapkan agar semangat yang ditunjukkan ahli dan penyokong UMNO ini dapat diteruskan kerana yang penting UMNO dapat kembali merampas Putrajaya dan juga negeri-negeri yang kalah pada saat dan ketika ini.

“Dengan penyatuan ummah dan Muafakat Nasional ini serta sokongan rakyat pelbagai peringkat insya-Allah tiada apa yang mustahil untuk menawan kembali Putrajaya,” katanya kepada UMNO-Online.

Ahmad yang sebelum ini terkenal dengan pantunnya turut memberikan serangkap pantun sempena PAU 2019 yang akan bermula pada 4 Dis depan.

Bandar Pontian ada hikayat,
Kisah bersemi cerita bersama;
UMNO berjuang untuk rakyat,
Dulu, kini dan selama-lama
. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.