Langgar Undang-undang Tapi Tun M Sokong Abu Chin Peng Dibawa Balik?


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah perkara remeh.

Soal beliau, apakah melanggar undang-undang negara dianggap perkara remeh?

“Tun M kata, takkan nak kutip balik abu Chin Peng yang sudah ditabur di atas laut tapi sebenarnya kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) juga sudah menjadi abu. Memang tidak boleh dikutip lagi,” bidasnya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya menegaskan Kerajaan tidak pernah menarik balik larangan membawa pulang abu mayat bekas ketua pengganas itu.

“Bahkan Chin Peng sehingga dia mati tidak pernah memohon menjadi warga negara Malaysia.”

Dalam hal ini beliau menyorot perjanjian Haadyai 2 Disember 1989, PKM diberi tempoh setahun sehingga 1 Disember 1990 untuk kemukakan senarai yang ingin balik ke Malaysia dengan daripada 1,188 anggota hanya 431 sahaja yang memohon balik ke Malaysia dan nama Chin Peng tidak ada pun dalam senarai permohonan itu.

“Itu bermakna Chin Peng memang tidak mahu balik Malaysia. Apakah kesetiaannya kepada Yang Di-Pertuan Agong masih berbelah bagi.

“Mungkin Chin Peng tidak mahu memenuhi syarat meninggalkan fahaman Komunis yang menolak sistem beraja, sebab itu dia tidak ada dalam senarai 338 orang yang diluluskan.

“Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad memang mahu balik Malaysia. Justeru, kenyataan Tun M, kenapa mereka boleh balik tetapi Chin Peng tidak boleh amat mengelirukan.”

Lagi malang, katanya apabila Tun M menjadikannya sebagai isu kaum kononnya Chin Peng orang Cina manakala Shamsiah orang Melayu.

“Penjenayah perang tidak kira kaum. Orang seperti Pol Pot, Radovan Karadzic dan Hitler tetap dianggap penjenayah walaupun setelah mengaku kalah.

“Ada bekas pemimpin Nazi ketika dijumpai dari persembunyian, umur mereka sudah lanjut. Mereka tetap dihukum.

“PKM pula menyambung keganasan selama 32 tahun lagi selepas negara diistiharkan merdeka, maka hukuman tidak membenarkan abunya dibawa balik adalah wajar dan setimpal,” tegas beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat.

Dilaporkan, semalam Tun Dr Mahathir menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan kerana perkara kecil yang ditimbulkan untuk memburukkan kerajaan.

Hal ini bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin pada Rabu yang berkata kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Media pada Selasa melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Sept lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.