UMNO Takkan Mengalah, Tetap Bangkit Perjuangkan Nasib Bangsa, Rakyat – Fariz


KUALA LUMPUR, 28 Nov – UMNO adalah parti terbesar orang Melayu dan Bumiputera yang terlalu besar jasanya pada agama bangsa dan negara, ujar Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Fariz Abdul Hadi.

Malangnya, akibat rakyat terpedaya dengan fitnah dan janji bulan dan bintang Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), katanya lagi.

“Lebih malang buat rakyat apabila kerajaan PH gagal melaksanakan janji mereka dan gagal mengurus dan mentadbir negara ini dengan baik.

“Malah negara menuju kepada kehancuran dari segi politik, ekonomi, sosial dan juga hubungan antara kaum yang semakin meruncing,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun jelasnya lagi, UMNO tidak sesekali mengalah untuk memperjuangan nasib anak bangsa dan rakyat Malaysia walaupun tidak lagi menjadi kerajaan.

“Dengan izin Allah SWT UMNO dan BN terus bangkit malah kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Kemenangan empat pilihan raya kecil yang berlaku selepas PRU-14 membuktikan rakyat telah bangkit menolak kerajaan penipu PH,” tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, kini rakyat Malaysia sudah tentu mahu melihat UMNO kembali kukuh bersama MCA dan MIC dan juga bersama PAS dalam semangat dan agenda baru yang dinamakan Muafakat Nasional.

“Yang pastinya bertujuan mengembalikan perpaduan dan kegemilangan negara yang pernah kita kecapi semasa zaman BN memerintah.

“Rakyat bergantung harap agar semangat Muafakat Nasional mampu memulihkan kembali negara tercinta,” katanya.

Justeru itu, Fariz menjemput seluruh rakyat Malaysia yang sayangkan negara hadir bagi bersama menyaksikan sejarah besar negara yang akan tercipta pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.

“Bersama meraikan dan menutup tahun kegemilangan ini serta membawa semangat kebangkitan dan perjuangan ini sehingga PRU-15.

“Kerana ‘UMNO Sebuah Perjuangan’. Dulu kini dan selamanya,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.