PRK Tg Piai Kerjasama Terbaik, Gerak Kerja Matang, Pemuda UMNO Rakam Penghargaan
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata semangat dan kerjasama antara rakan-rakan komponen Pemuda Barisan Nasional (BN) dan pelbagai pihak lain semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini adalah yang terbaik.
Sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pemuda dan mereka yang terlibat membantu kempen sebelum ini, beliau turut memaklumkan PRK Tanjung Piai dianggap proses yang matang dalam merangka gerak kerja.
“Terima kasih kepada seluruh jentera Pemuda termasuk UMNO, MCA, MIC dan Friends Of BN serta rakan-rakan lain yang bertungkus-lumus berkampung selama 14 hari di sana. Kita belajar daripada empat PRK ini dan PRK Tanjung Piai dikira sudah masuk proses yang matang dalam merangka gerak kerja.
“Tempoh hari memang Pemuda, kita ‘man to man marking’… ada senarai anak muda mengundi dan tumpukan program kepada anak muda yang mengundi di Tanjung Piai. Kita pastikan seberapa ramai anak muda yang putih menyokong BN keluar mengundi. Kali ini juga dapat lihat kerjasama jentera di peringkat parti-parti komponen adalah yang paling baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau menyokong tindakan exconya yang mengutus sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusoff memohon agar penghawa dingin di Dewan Rakyat ditutup semasa wakil rakyat sedang bersidang.
“Kita menyarankan kepada pihak Parlimen supaya apa juga yang boleh menyebabkan di kalangan Ahli Parlimen kerajaan bagi alasan tidak hadir ke Parlimen termasuklah kalau perlu tutup penghawa dingin saya rasa ia wajar dilakukan. Yang penting suara dan hak rakyat dapat terus dipelihara kerana itu tanggungjawab mereka.
“Minta supaya kerajaan ambil berat perkara ini dan saya menyokong saranan Exco saya untuk Parlimen mengambil tindakan sedemikian. Yang paling penting suara rakyat… kalau itulah sebab mereka tidak dapat pergi ke Parlimen sebab terlalu sejuk saya rasa ada wajar tutup sekali sekala,” ujarnya.
Memetik laporan, Pemuda UMNO hari ini mengutus sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusoff memohon agar penghawa dingin di Dewan Rakyat ditutup semasa wakil rakyat sedang bersidang.
“Kami ingin memohon pihak pengurusan Parlimen agar menutup penghawa dingin semasa sidang Dewan Rakyat.
“Ini kerana kami amat bersimpati serta rasa hiba sedih dengan ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang kesejukan dan tidak dapat hadir sidang Dewan Rakyat bagi menjalankan tanggungjawab mereka setelah dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14,” petik surat yang ditandatangani oleh Exco Pemuda UMNO Shahrul Nasrun Kamarudin.
Surat bertarikh 28 Nov itu juga mempunyai cap akuan penerimaan daripada pejabat speaker.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata ahli parmen tidak boleh berada di dalam dewan terlalu lama kerana ia terlalu sejuk.
Beliau memberikan alasan itu ketika ditanya mengenai kekecohan sewaktu undi belah bahagi di Dewan Rakyat bagi meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat malam Selasa lalu.- UMNO Online