PAU 2019 Manifestasi Semangat Baharu Selepas Ditekan PH – Megat Zulkarnain

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 yang bakal membuka tirai 4 Dis depan adalah manifestasi kepada semangat baru ahli-ahli UMNO keseluruhan selepas melalui pelbagai cabaran sejak hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata dalam situasi politik semasa UMNO ditekan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pelbagai bentuk namun semangat untuk terus menjadikan parti sebagai benteng mempertahankan hak orang Melayu tidak pernah luntur.

“Pastinya dengan PAU kali ini, semangat baharu akan terserlah apatah lagi UMNO telah memetrai Piagam Muafakat Nasional bersama PAS yang tentunya mereka juga akan hadir bersama sebagai tanda sepakat, seia dan sekata.

“Sepanjang PH menjadi kerajaan, pelbagai perkara kita lalui tetapi walaupun perit berjaya kita harungi sehinggakan wujud dakwaan nak mengharamkan UMNO, segala akaun bank UMNO dibekukan, pemimpin-pemimpin UMNO dituduh dengan sewenang-wenangnya sehingga ada tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal tapi itu adalah satu dugaan yang kita terima. Kita redha dan kita serah balik kepada Allah SWT serta kita tidak mengalah,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata, dengan keyakinan dan semangat ahli UMNO yang berada pada tahap yang tinggi tentunya ia adalah satu permulaan bagi menuju ke destinasi seterusnya iaitu PRU 15.

“Apabila kita mencapai kemenangan dalam beberapa PRK sebelum ini dan terbaru memperoleh majoriti yang besar di PRK Tanjung Piai, kita memahami bahawa keputusan PRK Tanjung Piai ini merupakan satu sejarah yang menunjukkan sokongan rakyat dan menolak PH.

“Kemenangan yang kita dapat hari ini adalah ujian supaya tidak akan lari dari landasan. Kita akan bermuhasabah diri apabila mengelami kekalahan yang lepas dan saya fikir kemenangan yang manis ini adalah merupakan satu titik permulaan semula dan ini adalah kehendak Allah SWT,” katanya.

PAU 2019 yang bakal bermula Khamis depan akan berlangsung selama empat hari dengan tema ‘UMNO Sebuah Perjuangan’ selain memberi penekanan kepada tiga perkara utama antara lain memfokuskan kepada hala tuju perjuangan parti dalam konteks landskap politik yang baru terutama sekali dengan adanya kerjasama Muafakat Nasional.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.