MP PH Kesejukan, Pemuda UMNO Mohon Penghawa Dingin Dewan Rakyat Ditutup


KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menghantar surat permohonan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menutup penghawa dingin semasa sesi sidang Dewan berlangsung.

Ini ekoran daripada kenyataan Ahli Parlimen kerajaan bahawa mereka tidak hadir ke sesi Dewan Rakyat kerana kesejukan.

Exco pergerakan tersebut, Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, permohonan ini dibuat atas rasa simpati terhadap Ahli Parlimen kerajaan yang kesejukan sehinggakan mereka tidak hadir ke sesi sidang Dewan.

“Permohonan itu telahpun diterima oleh pejabat Yang Dipertua dan kami berharap agar ia dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Kami berharap, dengan penutupan penghawa dingin ini selain menggalakkan untuk Ahli Parlimen kerajaan hadir membawa suara rakyat ia juga dapat menjimatkan bil eletrik sekaligus menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Penggal sidang Dewan kali ini beberapa kali terganggu kerana masalah tidak cukup kuorum dan ini amat memalukan.

Menjawab kepada isu tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin berkata, mereka tidak mampu untuk duduk terlalu lama di dalam Dewan Rakyat kerana terlalu sejuk. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.