Hajat Penasihat Dap Tercapai… Adakah Mereka Ada Agenda Lebih Besar? Soal Shabery


KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan pandangan yang mengatakan isu abu mayat Mendiang Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya Chin Peng sebagai perkara yang kecil.

Jika kecil tegasnya, kenapa perlu diacarakan, diheboh dan dibanggakan kerana sudah tentu ia ada makna dan implikasi yang lebih besar dari itu.

“Apakah selepas ini ada agenda yang lebih besar? Iaitu menulis kembali sejarah. Siapa wira, siapa pengganas? Siapakah pejuang kemerdekaan sebenar?

“Mungkin selepas ini ada yang memulakan polemik. Apakah benar Parti Komunis Malaya itu gerakan pengganas? Apakah benar mereka membunuh orang awam, polis dan tentera kita? Sekiranya itu satu dakwaan, mana buktinya?

“Kenapa perlu wujudnya kampung-kampung baru Cina di seluruh negara terutama yang berhampiran sempadan Thailand? Benarkah itu langkah taktikal memisahkan komunis di hutan dengan punca bekalan dari kawasan berpenduduk di zaman darurat? Bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya juga, akhirnya kemahuan Penasihat Dap Lim Kit Siang enam tahun lalu sudah tertunai iaitu permintaan membawa abu mayat Chin Peng pulang ke Malaysia menjadi kenyataan, sebagaimana yang pernah dilaporkan dalam media pada tahun 2013 lalu.

Ulasnya lagi, semua itu adalah sejarah negara.

“Kalau sejarah ditulis balik, pandangan rakyat boleh berubah.

“Terutama generasi baru yang tidak ada pengalaman atau mendengar cerita mereka yang pernah mengalaminya,” tegasnya lagi.

Justeru Shabery meninggalkan persoalan, maka sudah tentu ramai yang menganggap tuntutan Dap di Perak mendapat hak menduduki tanah kampung-kampung baru selama 999 tahun adalah sesuatu yang munasabah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.