Aset Khazanah: BN Tinggalkan ‘Nasi Tambah’, PH Jual Sampai ‘Kuah’ Pun Licin

KUALA LUMPUR, 28 Nov – “Kalau kerajaan BN (Barisan Nasional) meninggalkan banyak nasi tambah, kerajaan PH (Pakatan Harapan) pula menjualnya sampai tinggal kuah,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Dr Puad memberi perumpamaan demikian merujuk kepada kes terbaru apabila media antarabangsa ‘Reuters’ mendedahkan kerajaan PH telah menjual aset Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) secara senyap-senyap dalam tujuh syarikat asing.

Tambahnya, ia melibatkan saham Khazanah bernilai RM5.6 bilion dalam syarikat gergasi China Alibaba, BDO Unibank Inc di Filipina, syarikat teknologi India Infosys Ltd, peruncit fesyen di London, Farfetch dan syarikat perternakan ayam daging, PT Charoen Pokphand Indonesia Tbk.

“Apakah zaman Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) tidak ada penjualan aset?

“Memang ada. 84 aset dijual dalam tempoh 10 tahun, tetapi penjualan aset itu untuk menambah pelaburan baru.

“Sebaliknya di zaman PH, aset yang boleh menguntungkan dan menambahkan hasil telah dijual,” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu lagi, PH menjual aset kerana kerajaan tidak ada tunai dan dalam masa yang sama tidak ada pelaburan baru dibuat.

“Di zaman Najib, nilai aset bersih Khazanah (selepas ditolak hutang) naik hampir tiga setengah kali ganda. Iaitu dari RM33 bilion menjadi RM116 bilion. Bersamaan dengan kadar pulangan 15 peratus setahun.

“Tetapi di bawah regim PH, nilai aset bersih Khazanah jatuh RM25 bilion iaitu dari RM116 bilion menjadi RM91 bilion,” tegasnya lagi.

Dengan kata lain katanya, nilai 80 aset yang dijual dalam tempoh 9 tahun 4 bulan (zaman Najib) ialah RM45.3 bilion yang bermakna purata nilai jualan setiap tahun ialah RM5 bilion.

“Tetapi Lim Guan Eng (Menteri Kewangan PH) pula dalam masa ‘setahun’ menjual aset Khazanah yang nilainya ialah RM25.6 bilion. Mana lebih teruk?

“Seperti pendedahan Najib, penjualan itu belum melibatkan aset-aset yang dijual oleh anak syarikat Khazanah seperti UEM dan Axiata.

“Ia juga tidak termasuk penjualan aset oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji, Felda Global Ventures (FGV), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain,” tambahnya.

Setiausaha Agung Dap itu mengetahui bahawa kerajaan PH adalah kerajaan sepenggal dan kerana itulah PH jual aset sehingga licin, dakwanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.