Wanita UMNO Desak Kerajaan Ambil Tindakan Segera Isu Bendera, Abu Mayat Chin Peng

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad mendesak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil tindakan tegas terhadap dua isu yang tidak sepatutnya berlaku.

Katanya isu tersebut ialah kesilapan paparan bendera Malaysia pada perasmian Kejohanan Bola Keranjang ke-28 anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan paling menghiris hati adalah jawapan ‘tidak tahu’ Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan abu mayat pengganas komunis Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia dua bulan lalu.

Tegasnya, dua isu ini bukanlah perkara remeh yang boleh dipandang sebelah mata.

“Wanita UMNO amat kesal dan kecewa dengan dua tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini. Walaupun MABA telah memohon maaf tetapi ia tidak memadai kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ia adalah acara yang dianjurkan di negara sendiri. Mana mungkin penganjur tidak mengenali rupa Jalur Gemilang, lambang kedaulatan negara ini?

“Inilah akibatnya jika semangat patriotisme tipis. Justeru, Wanita menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini malah kerajaan juga harus segera menggubal Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 kerana kesilapan seperti ini bukanlah kali pertama terjadi. Sudah sampai masanya negara kita harus mempunyai akta lebih khusus berkaitan Jalur Gemilang,” ujar beliau melalui satu kenyataan media, hari ini

Berkaitan abu mayat pengganas komunis Chin Peng pula, Noraini membidas jawapan ‘tidak tahu’ yang diberikan oleh KDN.

“Bagaimana KDN boleh memberi jawapan tidak tahu? Sudah pasti ada dalang yang bertanggungjawab dan perkara ini harus disiasat dengan segera. Ini bukan perkara remeh kerana kesengsaraan yang ditinggalkan oleh komunis masih berbekas dan tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila khususnya kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan komunis ini.

“Adakah kerajaan pimpinan PH tidak peka dengan sensitiviti terhadap perkara ini? Kerajaan… Sila jawab, jangan lari!,” tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2019/11/27112019-KENYATAAN-MEDIA-YB-DATO-DR-NORAINI-AHMAD.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.