Undi Belah Bahagian: Bajet Hampir Tidak Dilulus… Pengajaran Buat ‘Kaki Ponteng’ PH

KUALA LUMPUR, 27 Nov – “Kesian tengok merah muka Menteri Kewangan berlari masuk ke dewan… Jadi kalau tak mau kepenatan, berpeluh, stokin dan ‘tie’ tak sempat pakai kerana terpaksa berlari masuk dewan… rajinlah masuk dewan Parlimen,” kata Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Demikian teguran Dr Shamsul Anuar kepada barisan Ahli Parlimen kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama barisan Menteri Kabinet yang culas menghadiri perbahasan di Dewan Rakyat.

Ujarnya, malam tadi blok pembangkang meminta diadakan undian belah bahagian untuk meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Wanita Dan Pembangunan Masyarakat sebagai pengajaran dan ingatan kepada kerajaan agar jadilah Ahli Parlimen kerajaan yang benar-benar menjalankan tanggungjawab.

“Pengajaran besar kepada Ahli Parlimen kerajaan PH supaya serius dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.

“Sebelum ini sudah beberapa kali, kami di pihak pembangkang membuat tindakan kerana kurom tidak mencukupi ketika sidang berlangsung.

“Semua ini kerana ramai menteri, timbalan menteri serta Ahli Parlimen kerajaan PH tidak hadir ke Dewan Rakyat, sedangkan pihak kerajaan bertanggungjawab memastikan korum sidang mencukupi,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Keputusan undi belah bahagian adalah 32 bersetuju dan 28 tidak bersetuju.

Tegurnya lagi, ia merupakan amanah yang rakyat berikan dan jangan leka dengan kuasa yang ada kerana rakyat sedang menilai.

“Ini bukan soal pembangkang mahu menolak bajet tapi ia ingatan pada kerajaan dan rakyat kecewa kerana Ahli Parlimen kerajaan PH tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab sepatutnya,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Dalam hal yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata Ahli Parlimen PH patut merasa insaf apabila mereka hampir dimalukan ketika bajet kementerian di bawah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dibentangkan.

“Ini satu pengajaran buat mereka supaya jangan ponteng sidang Dewan Rakyat. Rakyat bagi mandat bukan untuk bersenang-lenang.

“Ada yang ber’jogging’, ada yang berlari dan ada yang salah masuk pintu Dewan bila loceng dibunyikan,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam satu hantaran di Facebook. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.