Tindakan Bawa Pulang Abu Chin Peng Mampu Gugat Keharmonian Negara

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menegaskan tindakan membawa pulang abu mayat Chin Peng adalah suatu pengkhianatan terhadap perjuangan kemerdekaan terdahulu kerana PKM yang bertanggungjawab kepada siri keganasan, rusuhan dan pergaduhan antara kaum serta mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah

Katanya, setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak lagi berkuasa, abu mayat Chin Peng berjaya dibawa pulang ke Malaysia oleh kumpulan kenalan dan rakan-rakan seperjuangannya.

Jelas beliau, abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya(PKM) yang dibawa pulang seakan-akan tidak mengendahkan jasa pengorbanan pihak polis semasa menentang rejim komunis pada waktu itu.

“Kerajaan BN konsisten dengan keputusan tidak membenarkan abu mayat mendiang Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana ianya seolah-olah mengiktiraf ideologi komunisme dan tidak menghormati pengorbanan pihak polis yang terkorban semasa menentang pengganas komunis.

“Ideologi komunisme jelas bertentangan dengan nilai dan amalan masyarakat Malaysia. Kemasukan ideologi ini akan menjejaskan kestabilan politik negara dan keharmonian kaum kerana ideologi komunisme jelas menentang nilai fundamental Raja Berpelembagaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu katanya, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak berkuasa menyiasat secara telus dan tanpa campur tangan politik terhadap kumpulan yang berani membawa pulang abu mayat mendiang tersebut.

“Rakyat Malaysia tidak akan bertoleransi dengan sebarang cubaan mengiktiraf dan mempromosi ideologi komunisme kerana ianya mampu mengancam kestabilan negara,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.