Menjelang PAU2019: ‘Mood’ Baru Akar Umbi Perkukuh Perjuangan

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 7 Dis ini akan membawa ‘mood’ baru dan dijangka jauh berbeza dari sebelum ini kerana penglibatan menyeluruh demi semangat perjuangan daripada anggota parti di akar umbi .

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam empat Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bermula di Cameron Hinglands, Semenyih, Rantau dan terbaru di Tanjung Piai memberi impak kepada sokongan perjuangan UMNO.

Jelas beliau, situasi ahli UMNO pada PAU ini amat berbeza dengan tahun-tahun lalu apatah lagi setelah memenangi empat kali Pilihan Raya Kecil (PRK).

“PAU kali ini agak berbeza setelah UMNO mencapai banyak kejayaan selepas tewas dalam PRU-14. Kita mengharapkan pada tahun ini satu ‘mood’ baru akan berlaku dan ia akan dirasai dan juga diraikan bersama ahli-ahli UMNO seluruh negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Sehubungan itu, beliau mengajak ahli-ahli UMNO dari seluruh negara untuk kembali menyemarakkan perjuangan bersempena Perhimpunan Agung kali ini.

“Mari kita beramai-ramai ke Dewan Merdeka, PWTC untuk mendengar amanat-amanat dan juga perbincangan dari jurucakap-jurucakap dan barangkali boleh digunakan di peringkat akar umbi.

Untuk rekod, PAU 2019 telah ditunda dari tarikh asalnya iaitu 13-16 November kerana memberi laluan kepada PRK Tanjung Piai. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.