Kerajaan PH Mesti Tegas, Jangan Biar Tindakan Biadap Ke Atas Lambang Negara Berulang

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Walau apapun pendirian atau fahaman politik yang didokong, bendera negara wajib disanjung dan dihormati bersama, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ujarnya, Malaysia adalah negara milik bersama dan maruahnya mesti dijaga bersama.

“Justeru, atas apa juga alasan yang diberikan, bendera Malaysia yang diubahsuai dengan lima bintang yang dipaparkan semasa perasmian kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 oleh pihak penganjur MABA (Persatuan Bola Keranjang Malaysia) sangat biadap dan wajar diambil tindakan.

“Kerana itu biarpun permohonan maaf telah dibuat, pihak berwajib mesti juga mengambil tindakan.

“Perkara ini bukan isu kecil. Kita sangat kesal kerana ini tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Penganjur kejohanan ini sangat lalai,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas perkembangan yang sama, Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong menggesa pihak berwajib turut menyiasat apakah perkara yang sama juga berlaku apabila bendera Malaysia turut dipaparkan secara tidak betul untuk satu poster difahamkan untuk publisiti kejohanan taekwondo pada Ogos 2020.

“Ini jika benar juga merupakan suatu tindakan yang sangat biadap oleh pihak penganjur.

“Dan oleh kerana ia melibat kejohanan sukan, saya minta Menteri Belia Dan Sukan secara serius mengambil tindakan terhadap badan sukan berkenaan,” tegasnya lagi.

Justeru katanya, kejohanan sukan adalah landasan untuk memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat.

“Jika ini sengaja dilakukan ia sangat mendukacitakan kerana telah jauh terpesong dari falsafah sebenar kegiatan sukan diadakan.

“Paling peliknya kenapa perkara ini berlaku ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah? Soalnya. – UMNO ONLINE