KDN Pun Tak Tahu… Siapa Benarkan Abu Mayat Komunis Chin Peng Dibawa Balik?

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Siapa benarkan abu mayat komunis Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia? Itu persoalan yang dilontarkan Pemerhati Politik Azizi Safar.

Menurut beliau, pentadbiran kerajaan terdahulu tidak membenarkan abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (KPM), Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana sewaktu zaman komunis, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah menyebabkan ramai anggota polis atau tentera yang gugur.

“Sudah dua bulan, abu mayat Chin Peng pulang ke Malaysia… ditabur di laut berdekatan Lumut dan di Banjaran Titiwangsa tempat dia bergerak dulu sebagai gerila komunis dan yang menjadi persoalannya kini siapa dan pihak mana yang membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang?

“Kalau tiada siapa yang bagi kebenaran, maka geng-geng Chin Peng ini masih mempunyai kepakaran dan kemahiran ketenteraan untuk menyeludup masuk abu bekas ketua PKM dan ini merupakan satu ancaman kepada keselamatan Negara. Adakah kerajaan akan menyiasat isu ini di bawah SOSMA?,” ujar beliau kepada UMNO-ONLINE.

Semalam dilaporkan bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman memaklumkan keputusan kerajaan tidak membenarkan abu mayat Ching Peng dibawa balik ke Malaysia masih kekal dan laporan yang mendakwa abu mayatnya telah ditabur di Lumut dan Banjaran Titiwangsa akan disiasat.

“Setelah beribu-ribu nyawa terkorban, kini abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke negara ini dan adakah ini cubaan untuk diiktiraf sebagai pejuang?” soal beliau lagi.

Untuk rekod, era darurat antara tahun 1948 dan 1960, merupakan episod hitam kepada negara dan mereka yang terlibat secara langsung dengan kekejaman pengganas komunis.

Berdasarkan fakta Sejarah, beribu-ribu orang awam dan anggota keselamatan terkorban di tangan pengganas komunis dengan cara yang amat kejam. Sejarawan, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menegaskan perjuangan PKM tidak terlibat dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu daripada jajahan British sebaliknya ia adalah sebahagian daripada gerakan komunis antarabangsa terutama Komunis Rusia dengan matlamat melebarkan ideologi itu.

Sejarah Chin Peng pula mencatat bagaimana pengganas komunis yang diketuai dirinya menggunakan taktik gerila beroperasi dari hutan melancarkan serangan terhadap balai-balai polis dan kampung-kampung dan membunuh banyak anggota pasukan keselamatan dan orang awam.

Sejarah Bukit Kepong adalah antara yang masih segar dalam ingatan ekoran diserang oleh komunis. Dalam insiden itu segerombolan 180 pengganas komunis telah mengepong dan menyerang rumah pasung yang terletak di tebing Sungai Muar yang ketika itu diketuai Sarjan Jamil Mohd Shah dengan 21 anggota campuran polis tugas am, polis khas dan polis bantuan. Serangan tragik itu mengorbankan 17 anggota keselamatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.