Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Sajikan Program Menarik Sepanjang PAU 2019

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 yang akan bermula pada 4 Dis depan, sayap-sayap parti turut tidak ketinggalan menyajikan pelbagai program bagi memeriahkan lagi suasana sepanjang perhimpunan berlangsung.

Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata pergerakan itu akan mengadakan pelbagai program antara lain program W.I.S.E yang akan membicarakan ekonomi rakyat selain pelancaran Sedekad Skuad Sayang.

“Program ini akan berlangsung pada 3 Dis, Selasa jam 2.00 petang di Auditorium UMNO dan pelancaran Sedekad Skuad Sayang pula pada pukul 3.30 petang di Dewan Tun Razak, Aras 4. Pada keesokan harinya kita akan mengadakan program Dampak Media Sosial 2.0 pada pukul 2.30 petang dan seterusnya pemeriksaan kesihatan serta pameran wanita kreatif sepanjang PAU 2019 berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang diadakan di sini, hari ini.

Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, dan wakil-wakil sayap parti.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Rais Yassin pula memberitahu pergerakan itu juga padat dengan acara tersendiri selain daripada acara-acara utama sepanjang PAU 2019 diadakan.

“Pada 4 Dis iaitu Rabu kita akan mengadakan Persidangan Mahasiswa UMNO pada pukul 9.00 pagi di Bilik Kuala Lumpur yang mana pembukaannya oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim. Kemudiannya pertemuan mahasiswa bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta sesi dialog bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 5 Dis iaitu Khamis.

“Turut diadakan pelancaran Kelab Mahasiswa UMNO oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, jam 3.00 petang bertempat di ‘booth’ Pemuda Aras 2. Seterusnya diadakan acara minum petang dan makan malam bersama kepimpinan parti,” ujarnya.

Manakala Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Asuma Beevi Mohamed Sali memaklumkan Pergerakan Puteri UMNO turut tidak ketinggalan dengan menyediakan pelbagai acara menarik.

Antaranya jelas beliau ialah program berterusan seperti Sofa Pink yang mengandungi Bicara Siswa, Wanita Muda dan Politik serta Corat-coret PAU 2019 yang akan diadakan secara berterusan di laman Puteri Aras 2 bermula 4 hingga 7 Dis.

“Selain itu terdapat juga program lain seperti refleksologi, MUA make over, pemeriksaan kesihatan serta Buskers Corners,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.