Perhimpunan Agung UMNO  2019  Tumpu Tiga Fokus Utama – Annuar

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 akan memberi penekanan kepada tiga perkara utama antara lain memfokuskan kepada hala tuju perjuangan parti dalam konteks landskap politik yang baru terutama sekali dengan adanya kerjasama Muafakat Nasional.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata pada masa yang sama PAU 2019 juga akan memfokuskan kepada proses merekayasa UMNO melalui satu pindaan perlembagaan dan buat pertama kalinya UMNO meminda perlembagaan secara agak menyeluruh.

Menurut beliau kedua-dua perkara berkenaan merupakan sebahagian kepada fokus ucapan presiden parti dan apa yang diharapkan segala maklum balas akan dapat dikutip daripada sesi perbahasan perwakilan kelak.

“Proses merekayasakan parti dan proses penggabungan serta muafakat baru ini akan lebih diberikan perhatian maka PAU 2019 ini dianggap signifikan dan sangat penting. Pada kali ini juga kita berikan satu keutamaan dengan mengundang badan-badan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pemimpin pelbagai organisasi terutama sekali untuk mengikuti acara persidangan serta ucapan dasar presiden.

“Jadi fokus kita pada kali ini ialah untuk membuat ‘engagement’ dan membuka ruang menghadiri persidangan kita kepada ahli Parlimen Belia, pemimpin persatuan mahasiswa, belia dan badan-badan NGO termasuk persatuan nelayan, persatuan pemandu teksi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang diadakan di sini, hari ini.

Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Penolong Setiausaha Pergerakan sayap-sayap parti.

Annuar seterusnya berkata, ‘UMNO Sebuah Perjuangan’ dipilih sekali lagi sebagai tema perhimpunan, walaupun bukanlah satu kelaziman parti mempunyai satu tema persidangan namun merasakan tiap kali diadakan PAU terdapat penekanan-penekanan tertentu yang ingin dijelaskan.

Tambahnya PAU kali ini dijangka lebih besar dan lebih meriah daripada tahun sebelumnya khususnya pada tahun lalu.

“Daripada siri-siri mesyuarat agung dan juga perwakilan serta konvensyen, sambutan terhadap UMNO oleh ahli dan bukan ahli adalah cukup luar biasa, dan disokong oleh pula faktor empat PRK (pilihan raya kecil) yang berlangsung sepanjang 2019, maka sewajarnyalah PAU pada kali ini sebagai penutup kepada rentetan peristiwa-peristiwa bersejarah untuk kita menyambutnya dalam ‘mood’ dan suasana yang lebih meriah.

“Justeru kita jangkakan jumlah yang terlibat dalam PAU pada kali ini 6,000 perwakilan, hampir 3,000 perwakilan sayap-sayap, hampir 3,000 perwakilan PAU itu sendiri dan dijangkakan para pemerhati termasuk jemputan lebih kurang 500 hingga 600 lagi dan dijangkakan lebih 12,000 orang akan terlibat sepanjang empat hari persidangan yang akan berlangsung 4-7 Disember,” tambahnya.

Pada sidang media itu juga, beliau turut mengesahkan kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mengetuai delegasi parti berkenaan.

“Selain itu sudah tentulah Presiden dan ahli jawatankuasa rakan parti komponen seperti MCA dan MIC serta juga parti Friends of BN, PCM, KIMMA, Makkal Sakti dan beberapa buah parti politik lain yang telahpun kita undang,” ujarnya.

Ujar beliau lagi PAU 2019 bukanlah semata-mata urusan UMNO dan ianya mahu menjadikan UMNO itu lebih terbuka tetapi perjuangan UMNO lebih merakyat dan parti merasakan PAU 2019 harus buka ruang seluas-luasnya kepada rakyat.

“Selain itu, lebih 200 gerai yang akan ditawarkan bermula pada 2 hingga 8 Disember. Usahawan yang ingin ambil bahagian boleh buat permohonan berdasarkan kepada kekosongan yang ada,” tambahnya.

PAU 2019 akan diadakan pada 4 hingga 7 Disember bermula dengan majlis perasmian sayap parti oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pada keesokan harinya berlangsung persidangan sayap.

Seterusnya pada 5 Disember akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2019 dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan dasar dan seterusnya perbahasan dari perwakilan negeri-negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.