Makin Cacamarba, Kerajaan PH Tidak Mampu Saingi BN Yang Dulu Dikiritiknya

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama hampir dua tahun tidak sebaik kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan negara sedangkan dahulu mereka mengkritik pelbagai perkara.

Katanya, hampir dua tahun pentadbiran kerajaan PH namun hari ini dapat dilihat lebih banyak pengurusan yang cacamarba dilakukan dengan menyumbang kepada ketidaktentuan arus politik yang hanya merugikan agama, bangsa dan negara.

“Hari ini rakyat menilai… sama ada orang kampung atau penganalisa politik banyak membicarakan kerajaan PH bahawa mereka tidak mampu menyaingi kerja-kerja kerajaan BN khususnya dalam usaha menerajui kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan PH dan juga pemimpin-pemimpin kerajaan yang ada pada hari ini kerana mereka tidak mampu dan tidak boleh mentadbir khususnya dalam pelbagai hal membabitkan kepentingan rakyat dan negara ini.

“Apatah lagi polemik diantara mereka cukup banyak dan akhirnya yang akan menjadi mangsa adalah rakyat dan negara sendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Bercakap mengenai Muafakat Nasional yang dimeterai baru-baru ini, Nizar mengakui bahawa ianya amat bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan perpaduan, keharmonian dan kedamaian berterusan.

“Umat Islam Melayu dan Bumiputera telah menunjukkan nilai-nilai solidariti Muafakat Nasional yang telah termeterai dalam bentuk Piagam ataupun ‘Taawun’. Kerjasama yang cukup erat bagi memastikan arus kepentingan politik di negara ini akan terus berkembang, subur, baik dan sebagainya. Inilah hikmahnya selepas kita tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Saya yakin dan percaya dengan Muafakat Nasional ini kebersamaan dan nilai-nilai perpaduan yang diterapkan oleh UMNO dan BN, PAS dan juga Gagasan Sejahtera akan mempunyai satu komitmen yang cukup jitu bagi memastikan kita akan terus bekerja sebaik mungkin melalui polisi dan dasar untuk kita berhadapan PRU-15,” tegasnya. – UMNO ONLINE