Kemenangan PRK Empat Kali Berturut-turut Jadi Pemangkin Semangat Ke PAU 2019

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) empat kali berturut-turut termasuk yang terbaru di Tanjung Piai menjadi pemangkin semangat perjuangan ahli-ahli akar umbi ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019, kata Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.

Bukan itu saja, katanya PAU 2019 yang akan berlangsung pada 4-7 Disember ini juga akan diwarnai dengan semangat Muafakat Nasional yang telah berperanan penting dalam menyatupadukan bangsa termasuklah menyumbang kemenangan besar di PRK Tanjung Piai.

“Sudah pasti intipati PAU pada 4 Disember kali ini adalah amat penting apabila kita melihat prestasi Muafakat Nasional UMNO dan PAS telah menggariskankan kejayaan sebagaimana keputusan yang cukup luar biasa dengan majoriti yang tinggi di Tanjung Piai.

“Kita dapat melihat harapan rakyat terhadap parti kita BN, UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional ini amat tinggi,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Rizam yang juga Ketua Pemuda UMNO Selangor berkata ahli UMNO mengharapkan PAU 2019 menjadi medan kepada seluruh perwakilan untuk membahaskan perkara-perkara yang dilihat dapat mempertingkatkan kredibiliti parti di mata masyarakat.

“Sudah tiba masanya, PAU kali ini anak muda menyuarakan perkara-perkara yang melibatkan pengundi muda dan ini adalah antara harapan rakyat di luar sana untuk melihat kebangkitan melalui UMNO melalui PAU,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad juga menyokong suara anak muda mengetengahkan idea bernas demi parti.

“Menjelang PAU ini kita mengharapkan agar pemuda-pemuda lebih berani menyuarakan apa yang dilihat berlaku sebelum hari ini demi memastikan kesinambungan perjuangan UMNO dan BN agar dapat menolak PH sebagai kerajaan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.