Ahli Parlimen BN Berada Dalam Satu ‘Team’ Yang Padu – Annuar

KUALA LUMPUR, 26  Nov – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan semua Ahli Parlimen parti itu berada dalam satu pasukan yang padu dan banyak ‘rumors’ yang cuba dilemparkan ke atas mereka adalah tidak benar.

Menurut beliau mereka sentiasa berhubung dan berasa sangat gembira kerana keseluruhan ahli parlimen UMNO memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti malahan tidak ada seorang pun mempunyai cita-cita pindah ke parti lain.

“Di peringkat kita secara pentadbiran, di kalangan ahli-ahli Parlimen UMNO kita sentiasa berhubung dan berada dalam satu saf yang cukup rapat. Malam tadi pun presiden berada bersama dengan semua ahli-ahli parlimen BN.

“Jadi apa yang boleh saya katakan setakat yang kita tahu, kalau tidak tahu itu lain… setakat yang kita tahu kesemua 41 Ahli Parlimen BN berada dalam satu team yang padu dan banyak ‘rumors’ yang cuba dilemparkan ke atas mereka adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang diadakan di sini, hari ini. Turut serta Setiausa Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, dan wakil-wakil sayap parti.

Tambah Annuar apabila berlaku kontroversi dan sebagainya parti harus mengikut peraturan kerana itu adalah sistem.

“Bila ada kontroversi dan sebagainya sudah pasti kita mengikut proses … mengikut peraturan macam Jawatankuasa Disiplin harus berjalan kerana itu adalah sistem… tetapi ini adalah badan politik. Segala-galanya bukanlah Jawatankuasa Disiplin sahaja.

“Justeru kita ada kaedah-kaedah kita dan daripada segi itu saya dan juga Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi duduk dalam beberapa jam dengan ahli parlimen kita berasa sangat gembira kerana keseluruhan ahli parlimen UMNO memberikan taat setia kepada UMNO. Tidak ada seorang pun mempunyai apa-apa cita pindah ke parti lain,” ujarnya.

Ujarnya lagi telahan yang mengatakan ada pakatan sulit itu dirasakan datangnya daripada pihak luar daripada UMNO dan dalam parti ianya ‘very simple’ memandangkan ada aduan maka Jawatankuasa Disiplin akan melakukan penyiasatan.

“Kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kepada laporan yang datang daripada luar dan tidak memberikan hak untuk didengari daripada sahabat-sahabat kita.

“Jadi proses biasa akan berjalan iaitu mesti mereka diberi ruang untuk mereka memberi penjelasan secara rasmi kepada Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Disiplin akan melaporkan kepada jawatankuasa pengurusan dan seterusnya kepada Majlis Kerja Tertinggi. Jadi proses ini akan dilakukan tanpa sebarang prejudis,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline